Pengguna Rapid KL Kini Boleh Semak Masa Nyata Lokasi Bas Melalui Google Maps

Rapid Bus Sdn Bhd dengan kerjasama Google telah mengumumkan saluran khas di Google Maps yang memanfaatkan ribuan pengguna perkhidmatan awam di Lembah Klang dan Selangor. Melaluinya, penumpang perkhidmatan itu dapat menyemak lokasi masa nyata (real-time) bas Rapid KL untuk hampir 170 laluan bas di Lembah Klang.

Antara perkhidmatan yang terlibat termasuk bas perantara LRT, Go KL dan beberapa laluan-laluan perkhidmatan bas Smart Selangor yang terpilih. Selain perkhidmatan bas, perkongsian data melalui Google Maps itu turut memberikan pilihan perjalanan lain seperti gabungan perkhidmatan bas dan rel, serta maklumat hentian bas dan jangkaan masa perjalanan.



Menurut Rapid Bus, sejak Januari hingga April 2020, mereka telah menerima lebih 4,865 pertanyaan mengenai lokasi bas dan 60% daripadanya adalah pertanyaan mengenai kedudukan atau kekerapan bas.

Di bawah perancangan masa depannya, Rapid Bus dijangka akan meluaskan capaian kepada bas perantara MRT, Rapid Penang di Pulau Pinang dan Rapid Kuantan di Pahang.

Sumber: myRapid