Identiti Digital bukan untuk menggantikan Mykad.
Kerajaan Malaysia telah pun mula menjalankan satu kajian komprehensif bermula sejak September 2019 lalu bagi mengenal pasti rangka kerja ID Digital Nasional.
Kajian yang dijalankan dalam tempoh 9 bulan itu akan mencadangkan saranan-saranan kepada kerajaan mengenai model pelaksanaan yang sesuai yang dapat memenuhi keperluan rakyat, perniagaan dan negara.
Ia akan mengambil kira konteks unik Malaysia termasuk infrastruktur MyKad dan swasta yang sedia ada, faktor-faktor semasa sambil mengenal pasti polisi-polisi baru yang diperlukan.
Cuma masih ramai rakyat Malaysia yang masih keliru dengan apa itu Identiti Digital.
Identiti Digital (ID Digital) adalah perwakilan unik identiti seseorang yang digunakan untuk membolehkan individu mengakses perkhidmatan digital dalam talian.
Manakala MyKad pula adalah merupakan identiti kebangsaan rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk rakyat Malaysia dalam bentuk fizikal.
MyKad adalah pengenalan kebangsaan yang mengesahkan jika seseorang itu adalah warganegara Malaysia.
Bermakna ID Digital tidak akan menggantikan fungsi-fungsi yang sedia ada pada MyKad dan MyKid. Ini kerana penggunaan ID Digital adalah secara sukarela, bukan sesuatu yang wajib dimiliki oleh rakyat Malaysia.
Cuma jika pengguna memiliki ID Digital, MyKad boleh dimanfaatkan sebagai sumber kebenaran untuk pengesahan identiti seseorang kerana ia mempunyai maklumat sebenar individu tersebut.
Malah dengan memiliki ID Digital, pengguna akan mendapat pelbagai manfaat apabila mereka melakukan aktiviti-aktiviti di atas talian termasuklah peningkatan privasi, menangani isu penipuan dan kecurian identiti, urusan transaksi kewangan dengan lebih selamat lebih dan dilindungi serta banyak lagi.
Ringkasnya, ID Digital adalah satu sistem pengesahan untuk pelbagai perkara, menerusi rangkaian yang selamat dan boleh dipercayai.
Sebagai contoh, pengguna tidak perlu lagi memberikan maklumat peribadi mereka berulang-ulang kali ke pelbagai platform. Mereka juga tidak perlu mengingati semua nama pengguna dan kata laluan untuk mengawal maklumat pengenalan mereka untuk menjalankan pelbagai transaksi dalam talian.
Hanya dengan memasukkan ID Digital, pengguna boleh mengakses pelbagai perkhidmatan-perkhidmatan atas talian dengan keselamatan yang terjamin.
Seperti yang dimaklumkan di awal tadi, ID Digital Nasional masih dalam peringkat kajian yang sedang dijalankan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Jadi, pelaksanaannya hanya akan dilakukan selepas dibentangkan hasil kajian tersebut dan selepas ia menerima persetujuaan Jemaah Menteri. Inisiatif ID Digital Kebangsaan ini diterajui oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).