Pengguna iPhone Didapati Lebih Gemar Menggunakan Peranti Mereka Ketika Memandu Berbanding Pengguna Android

Kajian ini dijalankan terhadap 2000 pemandu jalan raya di Amerika. Tapi...


Dalam bulan Mac Lepas baru-baru ini, The Zebra iaitu sebuah syarikat yang menawarkan perbandingan insurans kereta di Amerika telah menjalankan kaji selidik terhadap tingkah laku dan sikap pemandu jalan raya di Amerika.

Daripada kaji selidik yang dibuat itu, mereka telah menemui pelbagai variasi tingkah laku memandu yang terganggu berdasarkan sistem operasi telefon pintar  yang digunakan mereka.

Daripada 2000 responden yang terlibat, didapati 10% pengguna iPhone mengaku bahawa mereka menonton video dari laman YouTube sambil memandu kenderaan.

Manakala hanya sebanyak 4% pengguna telefon pintar Android sahaja yang berbuat demikian.

Tidak setakat itu, pengguna iPhone juga didapati 2 kali lebih gemar melakukan aktiviti sembang video, menggunakan aplikasi Instagram, menonton servis penstriman video seperti Netflix atau Hulu dan mengambil gambar dan merakam video sambil memandu.

Kapsyen: Pengguna iPhone juga lebih gemar membuat hantaran mesej teks berbanding pengguna Android. Kajian ini mendapati tabiat gemar menaip mesej teks sambil memandu adalah antara penyebab kepada 58% berlakunya kemalangan yang kebanyakkannya melibatkan pemandu remaja. Kredit imej: The Zebra


Walaupun kajian tersebut dibuat ke atas pemandu di Amerika, tetapi ia sebenarnya memberikan gambaran terhadap sikap buruk pemandu di seluruh dunia.

Tabiat buruk pemandu yang gemar menggunakan peranti pintar mereka ketika sedang memandu juga banyak berlaku di Malaysia.

Jangan bersikap begini


Sikap pemandu yang suka menggunakan telefon pintar mereka sambil memandu merupakan tabiat buruk yang paling dibenci penulis.

Tidak kiralah mereka menggunakan telefon pintar apa sekalipun dan walaupun peranti itu memiliki ciri yang dapat membantu mereka menggunakannya ketika sedang memandu, menggunakan telefon pintar sambil memandu adalah tetap merbahaya.

Merbahaya pada diri sendiri dan juga orang lain. Jadi, janganlah bersikap demikian.

P/s: Kaji selidik itu juga mendapati 1 daripada 3 pemandu wanita didapati lebih gemar mengambil foto ketika sedang memandu.

Sumber: The Zebra