Pengguna iPhone Boleh Lihat Prestasi Bateri Menerusi Kemaskini iOS Akan Datang

Sebelum 2017 melabuhkan tirai, kita dikejutkan dengan isu Apple sengaja memperlahankan peranti model lama atas sebab mahu memanjangkan hayat bateri dan komponen dalaman telefon pintar itu.

Memandangkan ia mendapat maklum balas negatif daripada pemilik iPhone, CEO Apple, Tim Cook, telah mengumumkan bahawa kemaskini iOS 11 akan datang memberi peluang kepada pengguna melihat, serta diberikan pilihan untuk menyahdaya (disable) ciri yang memperlahankan prestasi bateri tersebut.

Ia akan bermula dengan kemaskini iOS versi pembangun yang penawarannya dibuat bulan hadapan dan selepas itu barulah versi stabil untuk umum akan dilepaskan.

Berdasarkan temubual ABC News bersama Cook, beliau menyatakan kemaskini akan memaklumkan kepada pengguna apabila iPhone mereka secara automatik mengurangkan prestasinya dalam usaha untuk mencegah peranti mati secara tiba-tiba.

"Jika anda tidak mahukannya, anda boleh matikannya." ujar Cook.



Sumber: The Verge