Pengguna Google Pixel 3XL Dakwa Ia Mempunyai Masalah Menyimpan Gambar Yang Ditangkap

Dunia internet kecoh sejak semalam apabila sebahagian daripada pemilik Google Pixel 3XL mendakwa peranti tersebut mengalami masalah untuk menyimpan gambar yang ditangkap. Perkara itu telah pun dimaklumkan kepada pihak Google melalui forum mereka dan Reddit.

Menurut laporan engadget, masalah ini berlaku apabila pengguna beralih ke aplikasi lain atau mengunci peranti selepas mengambil gambar menggunakan Google Camera. Ada juga pengguna yang dapat melihat thumbnail gambar pada aplikasi kamera, namun ia tidak memaparkan sebarang imej jika ditekan.

Kapsyen: Kredit: Evening Standard


Bagaimanapun, masalah itu dikatakan bukan sahaja dialami oleh peranti terbaru Google tersebut. Ada juga pengguna peranti lain seperti Pixel 3, Pixel 2XL, Pixel 2 dan beberapa peranti Android lain yang melaporkan perkara sama.

Malah, masalah ini telah lama menghantui sebahagian daripada pengguna Google Camera. Ada diantara mereka yang mendakwa perkara ini akan berlaku dua atau tiga kali setiap bulan sejak beberapa bulan yang lepas.

Perkara ini menjadi hangat semula apabila ramai yang terkejut melihat masalah sama masih lagi belum diselesaikan walaupun selepas Google Pixel 3 dilancarkan. Diharapkan Google memandang serius mengenai perkara ini sekaligus menjaga reputasi besar yang dimiliki oleh peranti premium mereka itu.

 

Sumber : engadget

 

Berkaitan