Kerajaan bercadang untuk melancarkan aplikasi baharu yang dikenali sebagai Aplikasi Mudah Alih Nasional.
Apliaksi tersebut merupakan satu aplikasi untuk pengguna mengakses pelbagai perkhidmatan digital yang akan menjadi pusat sehenti setempat untuk pelbagai kemudahan penggunaan, kepelbagaian fungsi, ciri-ciri dinamik, kepelbagaian perkhidmatan digital serta membolehkan pengguna merasai pengalaman digital yang lancar.
Aktiviti-aktiviti seperti mengakses perkhidmatan digital Kerajaan, perkhidmatan swasta terpilih, pembayaran bil, saman trafik, pembaharuan lesen memandu dan cukai jalan, pendaftaran kelahiran, perkahwinan dan banyak lagi boleh dilaksanakan tanpa perlu berulang alik ke lokasi.
Cadangan pelaksanaan platform Aplikasi Mudah Alih Nasional tersebut telah dipersetujui secara prinsip oleh pihak Kerajaan menerusi Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Industri Keempat Negara (MED4IR) pada 22 April 2021 lalu.
Sehubungan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari mempelawa orang ramai menyertai soal selidik berkenaan dengan penggunaan Aplikasi Mudah Alih Nasional bagi mendapatkan pandangan berhubung perkhidmatan digital yang perlu dan ingin digunakan menerusi platform aplikasi berkenaan.
Antara objektif utama soal selidik ini adalah untuk:
- Mengenal pasti keperluan rakyat merentasi pelbagai latar belakang dalam menyokong perancangan dan pembangunan Aplikasi Mudah Alih Nasional;
- Memperkenalkan konsep Aplikasi Mudah Alih Nasional dan senario potensi penggunaannya di negara ini;
- Mendapatkan pandangan serta input bagi potensi penggunaan Aplikasi Mudah Alih Nasional merentasi sektor awam dan swasta; dan
- Menilai penambahbaikan penyampaian perkhidmatan Kerajaan kepada rakyat yang perlu dipertingkat melalui platform Aplikasi Mudah Alih Nasional.
Soal selidik tersebut akan dikendalikan secara dalam talian bagi tempoh 3 minggu bermula pada 15 September 2021 sehingga 6 Oktober 2021.
Bagi anda yang ingin menyertai soal selidik tersebut, anda bolehlah melayari pautan http://bit.ly/AppNasional .