Pengguna 6 Model Xperia XZ Bakal Terima Kemaskini Android P Bermula Bulan Depan

Sehubungan dengan pelancaran sistem operasi Android 9 Pie oleh Google pada awal minggu ini, Sony semalam telah mengumumkan bahawa sistem tersebut akan tersedia bagi 6 model Xperia XZ-nya.

Model-model itu termasuklah Xperia XZ1, Xperia XZ1 Compact, Xperia XZ1 Premium, Xperia XZ2, Xperia XZ2 Compact dan Xperia XZ2 Premium. Kemaskini berkenaan akan mula ditawarkan bulan depan sehingga November kelak.



Sony sebelum ini telah dikenali sebagai syarikat yang sering menjadi antara yang terawal dalam menawarkan kemaskini sistem kepada peranti mereka. Namun, perkara tersebut gagal menghalang jualan perantinya yang semakin berkurangan kebelakangan ini.

Sebagai peringatan, Android Pie membawa beberapa fungsi dan ciri baru kepada peranti Android. Antara yang paling mencuri tumpuan ialah fungsi Digital Wellbeing, yang mana membantu pengguna untuk menganalisa dan mengawal kadar penggunaan peranti dalam kehidupan seharian.

Google semasa pelancaran sistem ini telah mengumumkan ianya bakal tersedia bagi peranti Pixel-nya sahaja di peringkat awal. Namun, mereka turut menjanjikan beberapa peranti dari pembangun lain akan turut menerima Android Pie sebelum tahun ini berakhir.

 

Sumber