Penggodam China Menawarkan Perisian Anti Virus McAfee Percuma Untuk Memasang Perisian Hasad

Pasukan penyelidik keselamatan dari Google, Google Threat Analysis Group (TAG) mendedahkan mereka mengesan percubaan penggodam dari negara China bagi memasang perisian hasad di dalam komputer.

Grup penggodam China itu (APT31) didakwa menyamar sebagai pihak dari perisian anti virus McAfee dengan menawarkan pautan versi percuma perisian anti virus tersebut yang dihantar melalui e-mel.

Jika terpedaya, pengguna tanpa sedari mereka sebenarnya sedang memasang perisian hasad ke dalam komputer mereka.

Kapsyen: Contoh penyamaran penggodam yang dikesan Google. Kredit: Google


Google tidak memperincikan secara jelas siapakah yang menjadi sasaran penggodam. Tetapi menyatakan sasaran penggodam adalah mereka yang terlibat dengan kempen pilihan raya Amerika yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Jadi pihak Google telah memberikan amaran awal tentang serangan yang berlaku ini kepada semua pihak yang terlibat dalam pilihanraya tersebut.

Google juga memaklumkan bahawa mereka turut berkongsi penemuan mereka ini dengan Biro Penyiasat Persekutuan (FBI).

Sejak pertengahan tahun lalu, TAG telah menjejaki rangkaian grup penggodam dari China yang menjadikan YouTube sebagai platfom untuk operasi mereka.

Susulan itu, pihak Google telah membuang lebih daripada 3000 saluran yang didapati mempunyai kaitan dengan grup penggodam tersebut.