Pengganti Android, Fuchsia OS Diuji Di Peranti Honor Play

Di sekitar pelancaran Android 9 Pie beberapa bulan lepas, timbul ura-ura mengatakan ia adalah versi Android yang terakhir digunakan pada peranti mudah alih. Sistem operasi popular itu dilaporkan akan digantikan dengan Google Fuchsia(Fuchsia OS).

Kapsyen: Kredit: Pocketnow


Malah, menurut laporan 9to5Google, pihak Google telah pun menguji keupayaan sistem operasi tersebut baru-baru ini. Apa yang menarik, ia diuji pada peranti keluaran Honor Play dan bukannya model keluaran Google sendiri, Pixel.

Ia menandakan Honor Play menjadi peranti pertama Android yang menguji sistem berkenaan. Ini juga merupakan kali pertama Google dan Huawei bekerjasama secara langsung sejak kali terakhir melakukannya pada peranti Nexus 6P dahulu.

Kapsyen: Kredit: Fuchsia Gerrit


Melihat kepada kiriman terbaru pada Fuchsia Gerrit, Google nampaknya sedang menambah sokongan Fuchsia untuk sistem cip Kirin 970. Ia secara tidak langsung memungkin ujian lanjut dijalankan pada model-model Huawei dengan cip sama yang lain seperti P20 Pro atau Mate 10 Pro.

Laporan ini agak mengejutkan memandangkan Google dikatakan hanya akan memperkenalkan Fuchsia OS ini seawal-awalnya pada tahun 2021 nanti. Mungkinkah Google mengubah pendirian mereka? Sama-sama kita nantikan perkembangan lanjut mengenainya.

 

Sumber: 9to5Google