Pengendali Telco Singapura Pilih Rangkaian 5G Dari Nokia Dan Ericsson

Kita kini berada di era perkembangan 5G yang mana beberapa negara sudah mengorak langkah dalam menyiapkan rangkaian generasi terbaru itu. Contoh paling rapat adalah negara jiran iaitu Singapura.

Mengungkap laporan daripada Asia Nikkei Review, tiga syarikat pengendali telco negara tersebut telah memilih Nokia dan Ericsson sebagai pembekal kelengkapan 5G. Ia dilihat seperti mengenepikan Huawei yang cukup terkenal dengan penawaran rangkaian 5G mereka. Namun begitu, Menteri Komunikasi dan Informasi Singapura menyatakan keputusan tersebut bukan sebagai langkah menolak Huawei tetapi fokus pemilihan adalah berdasarkan sekuriti, prestasi dan sebagainya.

Difahamkan, lesen bagi pelaksanaan 5G di negara itu sudah diberikan kerajaan kepada syarikat-syarikat pengendali. Dalam pada itu, TPG Telecom dari Australia yang juga bekerjasama dengan Huawei dilaporkan gagal mendapatkan lesen 5G untuk seluruh Singapura. Ia hanya dibenarkan melaksanakan 5G pada beberapa kawasan dan fasiliti.

Singapore Telecommunications, pengendali rangkaian terbesar di Singapura bakal menggunakan kelengkapan rangkaian daripada Ericsson sementara StarHub-M1 pula akan berurusan dengan Nokia. Singapura dijangka mula menawarkan perkhidmatan rangkaian 5G seawal Januari tahun hadapan.

Sumber: Asian Nikkei Review