Pengeluaran iPhone 12 6.1 inci Dilaporkan Bermula Seawal Julai

Apple sebelum ini dikhabarkan bakal memperkenalkan empat buah model iPhone 12 untuk tahun ini. Dua daripada empat model tersebut dikatakan sebagai versi permulaan dengan paparan 5.7 inci dan 6.1 inci. Sementara versi pro pula didatangkan dengan ukuran 6.1 inci dan 6.7 inci.

Dari jumlah tersebut, tiga daripadanya (5.7 inci, 6.1 inci "Pro" dan 6.7 inci "Pro") akan menggunakan skrin paparan dibekalkan oleh Samsung. Sementara itu, sebuah lagi model (6.1 inci) akan dipasang dengan paparan daripada BOE serta LG.

Khabar angin terbaharu, pengeluaran model 6.1 inci yang dipasang dengan paparan LG itu mungkin dijalankan lebih awal berbanding model-model lain.

Pengeluaran itu dilakukan lebih awal dikatakan oleh sebab model terbabit memerlukan modul sentuhan yang dibekalkan oleh syarikat lain. Berbeza dengan paparan daripada Samsung, teknologi sentuhan itu diletakkan terus pada panel OLED tanpa memerlukan lapisan yang terpisah. Tiga lagi model dijangkakan pengeluarannya dibuat pada Oktober.

Jika melihat kepada tahun-tahun yang sudah, Apple kebiasaannya memulakan pengeluaran iPhone terbaharu sekitar Mei atau Jun. Kelewatan ini dikatakan berpunca daripada Covid-19 yang melanda dunia sejak beberapa bulan lalu.

Sumber: 9to5mac

Beli iPhone 11 dari Lazada (https://invol.co/clojdj) atau Shopee (https://invol.co/clojdg)