Pengeluar Android Dijangka Bakal Guna Teknologi Ultra Wideband Apple Tidak Lama Lagi

Apple meletakkan teknologi Ultra Wideband pada siri iPhone 11 mereka dan nampaknya pengeluar Android dijangka akan mengikut jejak yang sama. Budaya tiru-meniru ini sememangnya lazim dalam industri peranti pintar. Jadi ada apa pada teknologi Ultra Wideband ini yang membuatkan pengeluar Android turut sama menyertakannya?

Teknologi Ultra Wideband


Untuk pengenalan, teknologi Ultra Wideband ini disertakan bersama cip U1 dalam peranti iPhone 11, iPhone 11 Pro, dan Pro Max. Dengan ini, ia membolehkan komunikasi antara peranti dengan cip U1 untuk mengesan lokasi dengan lebih tepat.

Jarak antara dua peranti Ultra Wideband boleh dianggar lebih tepat dari Wi-Fi dan Bluetooth kerana ia menghantar gelombang radio dan mengira masa di antaranya. Fungsi ini digunakan ketika proses pemindahan data melalui AirDrop boleh dilakukan dengan pantas dengan cara menghalanya kepada peranti dengan cip U1 lain.



Walau bagaimanapun, fungsi ini tidak terhad kepada AirDrop sahaja. Mengikut Apple, mereka akan menambah lagi fungsi-fungsi menarik berasaskan teknologi Ultra Wideband pada masa akan datang. Jadi, adalah masuk akal jika pengeluar Android turut meniru untuk gunakan teknologi sama untuk meningkatkan tahap penggunaan peranti mereka.

Pengeluar Android bakal guna teknologi Ultra Wideband


Menurut analisis dari Barclays, peranti Android akan dimuatkan dengan semua-dalam-satu cip Ultra Wideband, NFC, dan Secure Element. Cip ini sebelum ini telah pun diperkenalkan oleh NXP Semiconductor tahun lepas.

Buat masa ini masih belum jelas pengeluar mana yang pertama akan gunakan cip ini. Namun, Samsung ada terlibat untuk membangunkan cip ini dengan NXP.

Menurut NXP, teknologi Ultra Wideband akan memberikan beberapa fungsi yang baru dan menarik untuk peranti pintar. Antaranya adalah seperti boleh menyahkunci pintu kereta jika peranti dalam lingkungan dekat. Antara fungsi lain yang dinyatakan adalah lampu, pembesar audio dan peranti berhubung lain boleh mengikuti pengguna dari bilik ke bilik dengan teknologi ini.

Secara peribadinya, saya tidak kisah dengan peniruan teknologi yang digunakan dalam peranti pintar. Apa yang penting adalah bagaimana pengeluar cuba untuk memanfaatkan teknologi ini dengan fungsi yang menarik dan bukannya gimik semata-mata.

Sumber: Macrumors