Pengasas Bersama Microsoft Diumumkan Sebagai Lelaki Terkaya Di Dunia 2019

Kekayaan Bill Gates mengatasi Jeff Bezos.


Bloomberg melaporkan, pengasas bersama Microsoft Corp, Bill Gates telah diumumkan sebagai lelaki terkaya di dunia minggu lalu, sekali gus menewaskan Ketua Pegawai Eksekutif, Amazon.com Inc, Jeff Bezos.

Gates meraih kedudukan itu buat kali pertama dalam tempoh dua tahun dan kejayaan itu dipengaruhi keputusan mengejut Pentagon pada 25 Oktober lalu yang bersetuju memberi kontrak pengkomputeran awan kepada Microsoft berbanding Amazon.

Menurut Indeks Jutawan Bloomberg, pengumuman itu mendorong kenaikan saham Microsoft sebanyak empat peratus atau tambahan nilai kekayaan sejumlah USD110 bilion.

Kontrak pengkomputeran awan Pentagon itu dilaporkan bernilai USD10 bilion.

Pengumuman Pentagon itu turut mengakibatkan saham Amazon menyusut kira-kira dua peratus, menjadikan nilai kekayaan Bezos kepada USD108.7 bilion.

Namun, Gates, 64, dilaporkan sudah mendahului kedudukan Bezos, 55,  berdasarkan urus niaga harian bulan lalu, di mana kekayaan Bill Gates meningkat sebanyak USD19.5 bilion tahun ini.

Sementara Amazon dilaporkan mengalami penurunan keuntungan pertama dalam tempoh dua tahun. Sekaligus menyebabkan keuntungan Bezos jatuh sebanyak USD16.2 bilion

Bagaimanapun, saham milik Amazon, iaitu syarikat peruncit dalam talian terbesar dunia itu, berjaya mengatasi penurunan berkenaan.

Indeks terbabit yang merekodkan kekayaan 500 individu terkaya di dunia, dikemas kini setiap hari, selepas dagangan saham Amerika Syarikat ditutup.

Individu terkaya di Eropah, iaitu Bernard Arnault pula berada pada kedudukan ketiga indeks terbabit dengan kekayaan USD103 bilion.

Berikut adalah senarai 5 individu terkaya di dunia menurut Bloomberg:-

  1. Bill Gates (Microsoft Corp) - USD110 bilion

  2. Jeff Bezos (Amazon.com Inc.) - USD109 bilion

  3. Bernard Arnault (LVMH Moët Hennessy SE)- USD103 bilion

  4. Warren Buffett (Berkshire Hathaway Inc)- USD86.6 bilion

  5. Mark Zuckerberg (Facebook Inc.) - USD74.5 bilion


Sumber: MarketWatch dan BHarian