Pengalaman Menggunakan iPhone XS Max Selama 10 Bulan

Iphone Xs Max merupakan sebuah peranti Flagship keluaran Apple yang telah diperkenalkan dengan dua model yang lain iaitu Iphone Xs dan Iphone Xr pada September 2018 yang lalu. Di Malaysia, Iphone Xs Max diperkenalkan pada Oktober 2018 di mana ianya lebih kurang hampir 10 bulan yang lalu.



Apa yang kami ingin kongsikan kepada anda semua ialah pengalaman selepas 10 bulan menggunakan peranti yang berharga RM 5,000 ke atas ini.

 

Prestasi





Dari segi prestasi, Iphone Xs Max dilihat mempunyai prestasi yang agak mengagumkan. Dengan menggunakan cip pemprosesan Apple A12 Bionic, peranti ini dilihat mampu untuk memberikan prestasi yang maksimum terutamanya ketika membuka aplikasi-aplikasi yang menggunakan banyak kuasa seperti bermain PUBG Mobile, peranti ini dilihat tidak mempunyai sebarang masalah frame drop mahupun lagging ketika bermain. Begitu juga dalam melakukan kerja-kerja yang lain, peranti ini dilihat cukup lancar dan tiada langsung masalah dari segi prestasi.

 

Kamera

Bagi kamera pula, Iphone Xs Max mempunyai dua kamera utama iaitu 12 MP, f/1.8, 26mm (wide), 12 MP, f/2.4, 52mm (telephoto) yang mampu merakam video 4k@60fps dan juga kamera hadapan 7 MP, f/2.2, 32mm yang mampu merekod video  1080p@60fps .  Imej yang dihasilkan jelas bersama warna yang natural dan juga mempunyai julat dinamik yang tinggi. Dengan pengenalan Smart HDR, peranti ini mampu menghasilkan imej yang berkualiti dari segi exposure dan white balance serta pelbagai lagi kerana Smart HDR berkenaan menggabungkan imej-imej untuk rakaman terbaik.


  


Bagi potrait mode pula, Iphone Xs Max dilihat mampu menghasilkan imej yang kemas terutama sekali warna kulit manusia. Ia diperelokkan lagi dengan penggunaan lensa telefoto yang memberikan kesan kabur pada latarbelakang supaya kelihatan lebih natural berbanding peranti lain. Tambahan pula Apple telah memperkenalkan Depth Control bagi mod ini untuk membolehkan pengguna mengawal kedalaman bagi sesuatu rakaman imej potrait.







Namun begitu, Iphone Xs Max tidak mempunyai lensa sudut lebar dan juga night mode. Dengan ketiadaan night mode, peranti ini dilihat mempunyai masalah ketika mengambil gambar pada situasi kurang cahaya berbanding peranti-peranti yang lain yang sudah mempunyai night mode ini.



Dari segi video pula, Iphone Xs Max boleh dikatakan tiada tandingan dengan kemampuan membuat rakaman 4k@60fps dengan julat dinamik yang tinggi, penghasilan warna baik dan mempunyai rakaman video stereo.

 

Skrin



Dari segi skrin pula, Iphone Xs Max hadir dengan skrin skrin OLED bersaiz 6.5 inci, 1242 x 2688 pixels, 19.5:9 ratio (~458 ppi density). Ia menghasilkan paparan kandungan terang serta mempunyai kepekatan warna yang baik. Namun begitu, dengan kehadiran siri Samsung Galaxy S10 dan juga OnePlus 7 Pro yang menggunakan Fluid dan Dynamic Amoled, Iphone Xs Max dilihat sedikit tergugat dari segi kualiti skrin ditambah pula dengan pengenalan 90hz refresh rate pada skrin One Plus 7 Pro.

Bateri



Iphone Xs Max mempunyai bateri berkapasiti 3174 mAh yang mampu bertahan sehingga 7-8 jam bagi penggunaan biasa. Namun begitu, agak lama masa diperlukan untuk mengecas peranti ini kerana pihak Apple hanya membekalkan pengecas 5w di dalam kotak dan jika anda mahukan pengecasan pantas, anda boleh membeli pengecas 30w atau 18w beserta kabel USB-C ke Lightning dari pengedar Apple. Apple Xs Max juga mempunyai pengecasan tanpa wayar sehingga 10w sahaja.

Jika anda berminat untuk mendapatkan Iphone Xs Max, anda mungkin perlu bersabar dahulu kerana ia akan mengalami penurunan harga pada September akan datang selepas pelancaran Iphone XI nanti.

Berkaitan