Pengalaman 'Gaming' Pada ASUS ROG Phone 3 Dengan Paparan 144Hz

Seperti mana yang anda tahu, Asus Malaysia secara rasminya telah melancarkan model ROG Phone 3. Kami telah menguji prestasi penuh peranti ini.

Secara umumnya, peranti ini dicipta untuk menfokuskan kepada permainan mudah alih. Asus ROG Phone 3 dikuasakan dengan cip pemprosesan daripada Qualcomm iaitu Snapdragon 865+ 5G.

Menariknya pada siri kali ini, ia didatangkan dengan skrin yang menyokong kadar segar semula 144Hz, sekaligus memberikan pengalaman yang mantap ketika bermain permainan mudah alih.

Asus Phone 3

Kami telah menguji prestasi penuh peranti ini dengan bermain permainan mudah alih. Pada gaming test kali ini, kami merekod masa pengurangan bateri pada setiap satu jam. Selain itu, kami juga menguji kadar segar semula serta tahap suhu pada permainan video yang dijalankan pada ROG Phone 3.

Antara Permainan Mudah Alih yang kami cuba adalah COD MObile, PUBG Mobile, Mobile Legends dan Mortal Kombat.



Sebelum menjalankan permainan mudah alih, pastikan anda menghidupkan fungsi X-mode untuk menikmati prestasi penuh. Semasa kami jalankan ujian ini, kami pasangkan Aero Active Cooler pada peranti. Aksesori ini bertujuan untuk menyejukkan peranti ketika sesi bermain permainan video.

Asus Phone 3

Prestasi 'Gaming'


COD MOBILE


Pada jam pertama, pengalaman kami bermain permainan ini adalah yang terbaik untuk sebuah peranti mudah alih. Hal ini disebabkan grafik yang dihasilkan cantik dan tiada sebarang lag.

Cuma ada sedikit panas pada panel belakang ROG 3. Hal ini mungkin kerana kami tetapkan grafiknya pada tetapan paling tinggi.

Untuk tetapan grafik COD Mobile yang kami gunakan adalah sepeti dibawah :



Untuk satu jam gaming tanpa henti, tiada seberang lag dapat dirasakan. Kami dapati peranti ini kekal dengan prestasinya untuk mengekalkan grafik yang mantap.

Kami juga menguji Air Trigger yang dibekalkan oleh peranti ini. Kami dapat katakan ia dapat berfungsi dengan baik. Anda boleh tetapkan Air Trigger seperti untuk menembak atau reload.

Akan tetapi permainan ini masih lagi tidak menyokong kadar semula yang tinggi. Jadi kami tidak dapat mencuba kadar segar semula 144Hz pada permainan ini.

PUBG MOBILE


Pada jam kedua, kami mencuba PUBG Mobile. Tetapan grafik untuk permainan mudah alih ini adalah seperti berikut :



Untuk tetapan grafik, seperti mana-mana peranti kelas mercu, PUBG Mobile hanya menyokong grafik HDR. Mungkin Tencent Games akan menaik taraf grafik untuk peranti ini pada masa akan datang.

Ura-ura mengatakan bahawa PUBG Mobile boleh dimainkan dengan kadar segar semula 90Hz. Tetapi kami hanya dapat bermain pada kadar segar semula 60Hz sahaja. Kami merasakan mungkin ia masih tidak menyokong pada peranti ini.

Kami boleh katakan bermain PUBG Mobile pada peranti ini adalah pilihan yang terbaik. Fungsi Air Trigger yang terdapat pada peranti ini dapat membantu kami untuk menembak musuh tanpa menyentuh skrin. Sensor pada Air Trigger ROG 3 berfungsi dengan sangat baik dan efisyen.

MOBILE LEGENDS : BANG BANG


Untuk jam yang ketiga, kami mencuba Mobile Legends memandangkan ia merupakan antara permainan mudah alih yang agak popular di Malaysia.

Kami adalah sedikit kecewa kerana tetapan grafik untuk permainan ini hanya pada kadar tinggi sahaja.



Kami tidak dapat menguji grafik Ultra kerana peranti ini masih tidak menyokong. Kami harap ia akan diberi kemaskini pada masa akan datang.

Dari segi prestasi untuk permainan mudah alih ini, kami boleh katakan ia hanya pada kadar baik sahaja. Hal ini kerana peranti kelas pertengahan juga mampu mendapatkan kadar grafik yang sebegini.

Sepanjang kami bermain permainan ini, kami tidak dapat merasakan apa-apa perbezaan yag ketara pada tetapan grafik yang tinggi. Air Trigger juga kami tidak dapat gunakan pada permainan ini.

MORTAL KOMBAT (144 Hz)


Asus Phone 3

Peranti yang hebat ini akhirnya dapat diuji skrinnya. Kami dapati permainan ini dapat menyokong kadar segar semula sehingga 144Hz.

Kami dapat merasakan setiap pergerakkan yang dilakukan sewaktu bermain permainan ini adalah sangat lancar. Dari segi tetapan grafik, permainan ini telah diset secara auto. Oleh itu, kami tidak jumpa apa-apa pengubahsuaian yang dapat dilakukan kepada tetapan grafik ini.



Apa yang boleh kami katakan, permainan ini jelas menyokong kadar segar semula 144Hz dan dapat dirasa sewaktu bermain permainan mudah alih ini. Jika anda peminat Mortal Kombat, mungkin ini merupakan peranti yang sesuai untuk anda merasa kadar segar semula 144Hz.

KETAHANAN BATERI


Asus Phone 3

Bateri pada siri kali ini masih sama dengan versi lepas iaitu sebesar 6,000mAh.

Untuk pengetahuan anda, kami menjalankan ujian ini sehingga bateri peranti ini habis. Kami tetapkan kepada semua tetapan pada kadar yang tinggi.

Menakjubkan, bateri peranti ini mampu bertahan selama 4 Jam 30 minit. Secara purata, bateri pada peranti ini turun sebanyak 20%. Sewaktu bateri pada tahap yang paling rendah iaitu 5%, ia terasa panas pada bahagian tepi dan kami kurang pasti puncanya.

Walaupun begitu, dari segi prestasi peranti ini menunjukkan tiada sebarang lag sepanjang tempoh kami "membantainya". Masa pengecasan untuk peranti ini hanya 1 jam 50 minit dari 0% ke 100% melalui pengecasan pantas 30W.

KESIMPULAN


Asus ROG Phone 3 merupakan salah satu peranti gaming yang paling berkuasa ada di pasaran sekarang.

Hasil dari ujian gaming kami jalankan, kami dapati cip berkuasa ini mampu menjalankan semua permainan mudah alih dengan lancar. Dari segi tetapan grafik pula, hampir kesemua permainan mudah alih mampu menyokong grafik yang paling tinggi.



Untuk ketahanan bateri pula, pujian harus diberi pada bateri yang dimuatkan padanya. Hal ini kerana, kapasiti tersebut boleh bertahan pada jangka masa hampir 5 jam untuk permainan secara terus menerus pada tetapan tertinggi. Kami jangkakan jika anda gunakan pada kadar segar semula 60Hz ataupun auto, ia mampu bertahan lebih dari 8 jam.



Akhir kata, sekiranya anda peminat tegar aplikasi permainan mudah alih, mahukan sebuah peranti yang cukup berkuasa, idamkan permainan pada tetapan tertinggi, ROG Phone 3 adalah jawapannya.

Baca lagi : Kenapa perlu dapatkan Asus ROG Phone 3?