Penduduk Kampung Kongsi 14 Bakal Nikmati Capaian Internet Lebih Baik Tidak Lama Lagi - MCMC

Setelah tular mengenai pendedahan ratusan penduduk di Kampung Kongsi 14, Bukit Selambau, Kedah terpaksa menggunakan alternatif lain bagi menikmati capaian internet, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah ke kawasan berkenaan bagi menyiasat aduan tersebut.

Terbaru, MCMC bersama 4 penyedia telekomunikasi utama iaitu Celcom, Maxis, Digi dan U Mobile telah menghasilkan pelan untuk menyampaikan liputan ke kawasan tersebut.

Pihak penyedia perkhidmatan yang berkenaan akan mendirikan menara pemancar sementara setinggi 30 meter bagi memberikan liputan yang lebih baik di kawasan itu.

https://twitter.com/SKMM_MCMC/status/1311233881392050176

Dengan itu, keempat-empat rangkaian telekomunikasi akan dapat diakses oleh penduduk melalui teknologi perkongsian pemancar yang dikenali sebagai Multi-Operator Core Network (MOCN). Ini merupakan pertama kali penggunaan teknologi MOCN di Semenanjung Malaysia yang menggabungkan empat penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

Buat masa ini, penyedia perkhidmatan dalam proses menghantar permohonan kelulusan kepada Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP). Kerja-kerja penyediaan tapak, pemasangan dan pengaktifan menara sementara ini dijangka siap dalam tempoh 6 minggu selepas permohonan tersebut diluluskan oleh MPSP.