Pencipta Video Di Facebook Boleh Jana Wang Hanya Dengan Satu Syarat

Pencipta kandungan di Facebook kini boleh menjana pendapatan melalui video Facebook mereka dengan menggunakan muzik berlesen.

Syarikat itu melancarkan "Music Revenue Sharing" untuk membolehkan pencipta video memasukkan muzik berlesen dalam video mereka di Facebook dan memperoleh bahagian hasil iklan dalam strim.

Syarikat induk Facebook, Meta berkata ini membuka peluang baharu untuk pencipta dan pemegang hak cipta muzik untuk menjana pendapatan.

Dengan ciri baharu ini, setiap kali pencipta menggunakan muzik berlesen dalam video mereka di Facebook yang berdurasi 60 saat atau lebih lama, mereka boleh memperoleh wang untuk video tertentu melalui iklan dalam strim.

Pencipta akan menerima 20% bahagian hasil pada video yang layak, dengan bahagian berasingan akan diberikan kepada pemegang hak cipta dan kepada Meta.

Meta mengatakan Facebook Reels tidak akan menerima ciri ini buat masa ini. Berkemungkinan ciri Music Revenue Sharing akan dikembangkan buat Reels pada masa hadapan.

Dari segi kelayakan pula, pencipta mestilah layak untuk menambah iklan dalam strim (in-stream ads) dan memenuhi piawaian kelayakan untuk menjana pendapatan di Facebook.

Lagu pilihan yang digunakan dalam video juga mestilah daripada pustaka Licensed Music, yang mengandungi semua lagu yang dibenarkan untuk Music Revenue Sharing.

Meta turut menyatakan bahawa komponen visual juga perlu ada dalam video dan muzik yang digunakan tidak boleh menjadi tujuan utama video tersebut.

facebook video

Pencipta boleh mengenal pasti lagu yang dibenarkan untuk menjana wang melalui ciri ini dengan mengakses pustaka Licensed Music dalam Creator Studio.

Music Revenue Sharing akan mula dilancarkan untuk pencipta video di seluruh dunia, bermula dengan Amerika Syarikat dan kemudian akan berkembang ke seluruh dunia.

Sumber: Facebook