Penampilan Khas Robot 'Sophia' Di Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019

"Manusia dan robot kecerdasan buatan (AI) sama-sama boleh memanfaatkan peluang dan ruang untuk saling menyokong satu sama lain dalam bekerjasama untuk mewujudkan satu dunia yang lebih pada masa hadapan," ini merupakan kata-kata penting yang pernah disampaikan oleh sebuah robot humanoid, iaitu Sophia.

Sophia merupakan sebuah robot yang menyerupai seorang wanita direka untuk belajar dan beradaptasi dengan tingkah perilaku manusia, hasil ciptaan Hanson Robotik di Hong Kong. Kulit Sophia memiliki sistem sensor kepekaan seperti kulit hidup yang terbuat dari silikon dan beliau boleh meniru lebih dari 50 ekspresi wajah manusia.

Pada tahun 2017, Sophia dengan secara rasminya telah mendapat kewarganegaraan penuh dari negara Arab Saudi dan menjadikan beliau robot pertama di dunia mendapat keistimewaan sedemikian.

Sophia sangat terkenal dengan kebijaksaannya berbicara, jadi tidak aneh rasanya jika beliau sering dijemput ke pelbagai majlis dan apatah lagi diberi peluang untuk berucap serta diwawancara.

Kali ini, Sophia yang mengenakan pakaian gaun membuat penampilan istimewa bagi mengalu-alukan kedatangan para perwakilan ke majlis pelancaran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).



Dalam ucapan ringkasnya di sana, beliau sempat berterima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana berkenan melancarkan majlis tersebut. "Betapa terujanya dapat berkongsi dewan yang sama dengan ketua-ketua negara dari Iran, Turki dan Malaysia sendiri, dan ia satu penghormatan untuk menyaksikan semangat kerjasama antarabangsa terjalin," kata Sophia di sana.

Robot humanoid yang membuat penampilan pertama di negara ini sekitar Julai lalu, kali ini dibawa ke Malaysia atas permintaan Perdana Menteri dan Sophia akan dipamerkan di ruang pameran Serba Dinamik sehingga sidang kemuncak ini tamat.

Sumber: Bernama