Peminta Sedekah Di China Guna WeChat Pay

Dalam urusan seharian kita diluar, pastinya anda pernah melalui saat peminta sedekah datang menghampiri untuk meminta wang tunai. Ada yang memberi dan ada juga yang tidak. Pelbagai sebab seseorang itu tidak mengeluarkan sumbangan kepada peminta sedekah tersebut.

Salah satunya mungkin kerana ketiadaan wang tunai. Tapi jangan terperanjat kerana itu bukan masalah besar kepada peminta sedekah di China. Ini disebabkan golongan terbabit dilihat sudah mempraktikkan kemudahan teknologi pembayaran tanpa tunai dalam "kerjaya" mereka itu.

Berdasarkan perkongsian Facebook oleh Fazil Irwan, rakannya keluar untuk makan malam dan terserempak dengan peminta sedekah di negara tembok besar tersebut. Peminta sedekah tersebut meminta wang, namun rakan beliau mengatakan tidak mempunyai wang tunai. Mendengarkan jawapan tersebut peminta sedekah itu tampil dengan alternatif lain iaitu kod QR pembayaran tanpa tunai melalui WeChat Pay.


Kita sedia maklum, aplikasi WeChat bukan sekadar platform pemesejan segera malah menawarkan pelbagai perkhidmatan. Antaranya adalah pembayaran tanpa tunai yang digunakan secara meluas di China, jadi perkara yang berlaku ini bukanlah sesuatu yang pelik.

Sumber: Facebook Fazil Irwan

Kredit foto: Cheah Chyuan Yong