Pemilik iPhone 5 Mesti Kemaskini Peranti Untuk Terus Gunakan App Store, iCloud Dan Aplikasi Lain

Sudah menginjak usia 7 tahun setelah diperkenalkan 2012 yang lalu, iPhone 5 masih setia digunakan beberapa pengguna hingga kini. Bagi memastikan pengalaman penggunaan iPhone 5 tidak terganggu, Apple telah mengeluarkan amaran supaya pemilik peranti mengemaskini sistem operasi kepada iOS 10.3.4 sebelum 12 tengah malam (UTC) 3 November depan bersamaan 8 pagi waktu tempatan.

Jika iPhone 5 tidak dikemaskini kepada versi yang dinyatakan, peranti akan bermasalah untuk mengakses perkhidmatan dalam talian termasuklah e-mel, melayari web, App Store dan iCloud. Hal ini disebabkan oleh masalah peralihan masa GPS yang mula menjejaskan produk yang didayakan GPS daripada pengeluar lain pada 6 April  2019. Kemaskini ini adalah untuk memastikan peranti mempunyai fungsi lokasi GPS yang tepat dan mampu menjalankan fungsi atau aplikasi yang bergantung kepada tarikh serta masa.

Model lain seperti iPad generasi ke-4 dikatakan akan terjejas tetapi difahamkan mungkin kehilangan fungsi GPS. Menurut Apple, sekiranya kemaskini tersebut tidak dilakukan selepas 3 November, pengguna perlu membuat back up dan restore sistem melalui PC atau Mac kerana kemaskini secara OTA dan back up di iCloud tidak lagi berfungsi.

Untuk melihat versi sistem operasi yang sedang digunakan pada iPhone 5 anda, pergi ke Settings > General > About. Lihat pada Software Version dan ia perlulah versi 10.3.4 seperti yang dinyatakan Apple.

Sumber: Apple