Pembayaran Boleh Dibuat Melalui RFID Untuk Semua Plaza Tol Terbuka Mulai 1 Januari 2020

Hari ini telah diumumkan melalui kenyataan media bahawa kerajaan secara rasminya akan melaksanakan kutipan tol menggunakan RFID untuk semua plaza tol terbuka mulai 1 Januari 2020 nanti.

Menteri Kerja Raya, YB Baru Bian berkata sistem RFID ini merupakan mod pembayaran elektronik terkini yang diperkenalkan selain pembayaran sedia ada iaitu kad Touch 'n Go (TnG) dan juga SmartTAG.

Dengan pembayaran RFID, ia dijangka dapat melancarkan aliran trafik di lorong tol kerana pengguna tidak lagi perlu berhenti untuk menyentuh kad di reader. Selain itu, pengguna juga dapat menikmati faedah seperti berikut:

  • Transaksi lebih mudah dan lebih selesa

  • Tiada kos penyelenggaraan - RFID tidak perlukan bateri

  • Boleh tambah nilai secara atas talian

  • Stiker RFID ditampal pada kenderaan - tidak mudah hilang

  • Kurangkan isu operasi sedia ada yang melibatkan pengguna seperti lewat meletakkan OBU SmartTAG, OBU SmartTAG diletakkan secara terbalik, dan bateri lemah


Sistem RFID ini dihubungkan dengan TnG eWallet, jadi tambah nilai boleh sahaja dibuat secara atas talian. Namun perlu diingat bahawa pengguna perlu memastikan baki yang mencukupi dalam eWallet untuk pelancaran pembayaran.

Untuk senarai lebuhraya yang telah menawarkan sistem kutipan tol RFID, sila rujuk gambar bawah.



Sebelum ini ujian rintis RFID telah diadakan di plaza-plaza tol terpilih mulai tahun 2018 dan mendapat respon positif daripada pengguna lebuh raya.

Pelaksanaan RFID ini merupakan langkah awal ke arah pelaksanaan Kutipan Tol Tanpa Henti (Multi Lane Free Flow (MLFF)) di lebuh raya untuk meningkatkan kualiti servis bayaran tol pada masa hadapan.

Sumber: Lembaga Lebuh Raya Malaysia