Pemandu E-Hailing Boleh Mula Daftar Lesen PSV Bermula 1 April Ini

Seperti yang semua sudah maklum, tahun lalu kerajaan sudah menetapkan bahawa setiap pemandu e-panggilan (e-hailing), perlulah mempunyai lesen PSV.

Untuk itu, JPJ menerusi akaun Facebook mereka telah mengumumkan, pemandu atau bakal pemandu yang memenuhi syarat memohon lesen PSV boleh mula mendaftar pada 1 April ini.


Pendaftaran boleh dibuat di Institut Memandu dan Pusat Latihan Memandu e-Hailing Operator (eHO) yang diiktiraf JPJ. Kadar yuran siling yang ditetapkan adalah RM200 (RM 190 untuk latihan dan RM 10 untuk pengujian JPJ) dengan modul latihan selama 6 jam.

Menurut pemberitahuan itu, semua kenderaan persendirian e-hailing perlu ditampal dengan pelekat khas yang akan dikeluarkan oleh eHO.

Difahamkan juga, bagi pemegang lesen PSV (teksi) tidak perlu hadir semula ke latihan kelas teori kerana lesen memandu tersebut adalah setara dengan lesen PSV(teksi/e-hailing).

Turut disenaraikan keperluan pematuhan bagi kenderaan e-hailing seperti model kenderaan yang terbuka kepada semua jenis kenderaan kecuali pick-up, peti pertolongan cemas bagi kereta kenderaan 8 penumpang keatas dan juga pemadam api 1KG dari jenis serbuk kering atau karbon dioksida.

Lain-lain maklumat serta soalan-soalan lazim boleh dirujuk dari media sosial seperti Facebook JPJ.