Pemain Permainan Video Profesional Menerima Bayaran Lebih Daripada USD50,000

Hanya dalam tempoh sejam penstriman permainan video dibuat!


Syarikat-syarikat pembangun permainan video dilaporkan membayar para penstriman permainan video profesional yang popular lebih daripada USD50 ribu.

Syarikat-syarikat seperti Electronic Arts, Activision Blizzard, Ubisoft dan Take-Two Interactive Software adalah antara syarikat yang dilaporkan telah membelanjakan wang mereka untuk para pemain penstriman video tersebut.

Malah mereka juga memberikan akses awal kepada pemain memainkan lebih awal versi beta sesebuah permainan video yang sedang dibangunkan.

Sebagai contoh, Take-Two Interactive Software dilaporkan membayar pemain penstriman video bagi menguji permainan Borderlands 3. Manakala Ubisoft pula memberi akses kepada pemain memainkan permainan Tom Clancy's Ghost Recon Breakpoint yang masih dalam peringkat pembangunan.

Syarikat-syarikat pembangun permainan video menyedari akan populariti para pemain penstriman video yang memiliki berjuta pengikut seperti di laman YouTube.

Ini sekaligus akan dapat memasar dan mempopular permainan video yang dibangunkan mereka kepada pengguna.

Antara penstriman video popular yang menerima bayaran tinggi adalah seperti Tyler "Ninja" Blevins dan Sean "Jacksepticeye" McLoughlin yang memiliki lebih daripada 22 juta pengikut. Dilaporkan McLoughlin telah memperoleh pendapatan lebih kurang USD300 ribu sebulan.

Manakala Blevins pula menerima pendapatan antara USD500 ribu hingga USD1 juta sebulan menurut data dari Celebrity Networth.

Sumber: CNET

Berkaitan