Pemain e-Sukan Lebih Sihat Berbanding Kebanyakan Individu

Sejak dahulu hingga kini, bermain permainan video atau gaming sering dikaitkan dengan aktiviti yang tidak sihat.

Malah, perspektif masyarakat terhadap golongan gamer sudah pasti lebih banyak negatif seperti individu yang berbadan besar atau skema.

Ditambah lagi sejak tahun lalu, industri e-sukan kian mendapat perhatian ramai disebabkan pandemik COVID-19. Namun, e-sukan masih belum diterima oleh semua lapisan masyarakat.

Ini kerana ramai beranggapan bahawa bermain permainan video bukanlah satu aktiviti sukan kerana tidak mengeluarkan peluh. Akan tetapi tahukah anda bahawa pemain e-sukan mungkin lebih sihat berbanding kebanyakan rata-rata individu biasa.

Berdasarkan kajian baharu yang dilakukan German Sport University Cologne, pemain e-sukan merupakan atlet dan lebih baik berbanding individu tidak bersukan.



Setelah soal selidik selesai bagi 820 atlet yang ambil bahagian, mereka mendapati pemain e-sukan mengambil kandungan gula lebih sedikit dalam diet mereka berbanding individu biasa.

Secara tidak langsung, perkara ini telah membalas pandangan negatif bahawa gamer meminum air yang mengandungi gula yang sangat tinggi.

Tambahan lagi, purata aktiviti fizikal yang dilakukan pemain e-sukan lebih tinggi dari yang disarankan WHO dimana kebanyakan mereka menghabiskan masa dengan aktiviti fizikal selama 9.5 jam seminggu.



Walau bagaimanapun, pemain e-sukan disarankan untuk lebih banyak mengambil sayur-sayuran dalam diet harian dan perlu kurangkan meminum air tenaga (energy drink).

Adakah anda seorang gamer yang menjalani kehidupan yang sihat atau pun anda hanyalah individu yang berkurung di dalam bilik?

Sumber: esportwissen via IFL Science