Pelanggan Warga Emas Dilayan Dengan Buruk, TM Diminta Lebih Prihatin

Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Gobind Singh Deo telah menegur kualiti perkhidmatan yang diberikan oleh Telekom Malaysia(TM) dalam kicauannya di Twitter baru-baru ini.

https://twitter.com/GobindSinghDeo/status/1097709351547035649

Ia berikutan satu laporan yang disiarkan melalui laman The Malaysian Insight mengenai kesukaran yang dihadapi oleh seorang pelanggan TM untuk menghentikan langganan ke atas perkhidmatan mereka.

Dalam artikel bertajuk "You were tone deaf, Telekom Malaysia" itu, seorang pelanggan  TM menyuarakan ketidakpuasan hatinya apabila bapanya yang sudah berumur dan berkerusi roda terpaksa hadir sendiri ke TMpoint untuk membatalkan langganan.

Mereka mahu menamatkan langganan kerana ingin bertukar alamat. Beliau juga telah memenuhi langkah-langkah awal pembatalan perkhidmatan. Selepas selesai, beliau dan bapanya telah ke TMpoint Bandar Sunway yang merupakan cawangan paling hampir dengan rumah mereka.

Akan tetapi, mereka dimaklumkan perlu ke cawangan TMpoint Taipan untuk menyempurnakan proses pembatalan. Ini kerana cawangan TMpoint Bandar Sunway hanya bertindak sebagai pengedar sah dan urusan pembatalan servis tidak boleh dibuat di sana.

Selepas itu, beliau telah kembali pulang ke kediaman kerana keadaan bapanya yang tidak mengizinkan.

Bagaimanapun, kes ini dikatakan telah pun diselesaikan hasil kerjasama pasukan kepimpinan Telekom Malaysia tidak lama selepas itu.

Diharapkan perkara ini menjadi pengajaran kepada pihak Telekom Malaysia atau mana-mana pembekal perkhidmatan yang lain supaya ia tidak lagi berulang di masa akan datang.

 

Sumber: @GobindSinghDeo    TheMalaysiaInsight