Pelanggan UniFi dan Streamyx Terima Akses Percuma iflix Selama Setahun

Setahun yang lalu, iflix dan TM telah menandatangani perjanjian yang membolehkan pelanggan UniFi dan Streamyx  menikmati akses iflix selama 1 tahun secara percuma. Perjanjian itu sepatutnya berakhir dalam masa beberapa hari lagi tetapi perkhidmatan penstriman video on-demand itu telah mengumumkan bahawa pelanggan akan terus menikmati akses percuma selama satu tahun lagi memasuki tahun baru 2017.

Dalam satu pengumuman melalui media sosial syarikat itu, pelanggan Unifi dan Streamyx masih boleh mengakses iflix secara percuma sehingga 31 Disember 2017. Dengan tawaran yang dipanjangkan selama setahun ini, pengguna boleh menonton kesemua kandungan yang dipaparkan dalam katalog iflix tanpa dikenakan sebarang cas tambahan ke dalam bil internet anda.

Syarikat itu tidak menyatakan sama ada terdapat apa-apa perubahan kepada kaedah pengesanan tetapi ramai menganggap bahawa ia akan tetap sama. Di bawah pelaksanaan yang sedia ada, pelanggan  UniFi dan Streamyx boleh mengakses iflix tanpa perlu mewujudkan butiran log masuk kerana ia dapat mengesan pelanggan tersebut secara automatik selagi akses awal dilakukan melalui sambungan UniFi atau Streamyx.

Untuk pengetahuan anda semua, akses percuma iflix hanya terdapat pada Streamyx 4Mbps dan 8 Mbps manakala semua pengguna UniFi boleh mengakses servis strim video itu. Layari laman web rasmi iflix untuk maklumat lebih lanjut.