Pelanggan Premium Spotify Kini Berjumlah 100 Juta Pengguna

Apple Music pula setakat Januari 2019 hanya memiliki pelanggan berbayar seramai 50 juta sahaja.


Spotify Technology S.A hari ini mengumumkan bahawa pelanggan berbayar servis muzik Spotify kini meningkat kepada 100 juta pelanggan premium.

Ia merupakan peningkatan sebanyak 32% dari tahun ke tahun sekaligus menjadi penanda aras yang penting dalam sejarah syarikat tersebut.

Pengumuman tersebut dibuat menerusi sebaran media tentang laporan kedudukan kewangan syarikat bagi suku pertama tahun 2019.

Antara kandungan menarik dalam laporan tersebut adalah pengguna aktif Spotify (pengguna berbayar dan percuma) pada setiap bulan telah meningkat sebanyak 26% dari tahun ke tahun atau bersamaan dengan 217 juta pengguna aktif setiap bulan.

Pada bulan Februari lepas, Spotify telah memperluaskan pasaran global mereka ke negara India. Sekaligus menjadi negara ke-79 yang menawarkan servis muzik Spotify.

Di India, mereka telah berjaya mendapat seramai 1 juta pelanggan baru dalam tempoh seminggu sahaja selepas Spotify dilancarkan di sana.

Setakat ini, pengguna di India yang berdaftar dengan Spotify telah lebih daripada 2 juta pengguna.

Selain itu Spotify juga mengumumkan, setiap pengguna baru di Amerika Syarikat yang membeli telefon pintar terbaru Samsung Galaxy S10, mereka akan ditawarkan akses percubaan percuma khas selama enam bulan untuk servis Spotify Premium.

Malah mereka juga turut menjalinkan kerjasama bersama Hulu dan Google dalam usaha mereka meluaskan lagi pasaran servis muzik mereka kepada pengguna.

Walaupun Spotify mempunyai 50 juta lebih ramai pelanggan berbayar dari servis Apple Music, Spotify yang bermula pada tahun 2008 memerlukan tempoh 11 tahun untuk mencapai jumlah tersebut.

Sebaliknya Apple Music yang baru bermula pada tahun 2015 telah berjaya memperoleh pelanggan berbayar mereka seramai 50 juta dalam tempoh 4 tahun sahaja.

Jadi, antara Spotify dan Apple Music, servis yang manakah lebih menarik kepada anda?