Pelancaran Siri Huawei Mate 30 di Malaysia 3 Oktober Ini

Seperti mana yang anda tahu, 2 minggu lepas pihak Huawei sudah pun memperkenalkan siri Mate 30 Pro di Munich, Jerman.

Seperti Cristiano Ronaldo tanpa kaki kanannya, kehadiran siri Mate ke pasaran tanpa Google Mobile Service dilihat agak tempang walaupun diatas kertas ia merupakan sebuah peranti yang sangat ganas.

Namun tanpa perkhidmatan Google seperti Playstore, seganas ganas mana pun, ia mungkin menjadi faktor utama pengguna beralih ke jenama lain.

Huawei Mobile Service


Huawei masih lagi menggunakan platform AOSP Android bagi peranti mereka sehinggalah sistem operasi Harmony mereka betul-betul bersedia untuk pengguna.

Tanpa servis Google, Huawei terpaksa bergantung kepada pemaju aplikasi untuk berkerjasama dengan mereka untuk membina ekosistem HMS.



Dalam jemputan media, mereka tidak menyatakan langsung tentang pelancaran siri Huawei Mate 30 tidak seperti sebelum ini.

Sebaliknya ia berjudul Huawei Malaysia Ecosystem Conference 2019 bertujuan untuk memberi panduan dan apa kelebihan yang ditawarkan oleh ekosistem HMS.

Menurut pihak Huawei, mereka tidak akan menyediakan aplikasi pra-pasang ke dalam peranti mereka untuk memudahkan pengguna memuat turun aplikasi dari Google Playstore.

Pengguna perlu melakukan pemasangan aplikasi ketiga (APK) dengan sendiri - atas risiko sendiri.

Oleh kerana rasa tanggungjawab, pihak kami akan mengeluarkan beberapa kompilasi wacana tentang bagaimana untuk pasang aplikasi google pada peranti Huawei -selepas ia sudah rasmi dilancarkan di pasaran tempatan.