Pelancaran OnePlus 6T Diawalkan, Elak Pertindihan Tarikh Dengan Acara Apple

Semalam, kami ada menulis mengenai satu majlis yang akan diadakan oleh Apple pada 30 Oktober ini. Acara itu dikatakan akan memperkenalkan beberapa produk baru Apple seperi Macbook dan iPad Pro.

Para peminat Apple mungkin berasa teruja, tapi tidak bagi pihak OnePlus. Ini kerana tarikh itu adalah sama dengan majlis pelancaran OnePlus 6T yang telah diumumkan lebih awal.

Kapsyen: Tarikh asal pelancaran OnePlus 6T. Majlis di India kekal(Kredit: OnePlus Forums)


Oleh sebab itu, OnePlus telah menjadualkan semula majlis pelancarannya di New York kepada 29 Oktober, sehari lebih awal. OnePlus menyatakan kekesalan mereka mengenai perkara tersebut yang jelas menyusahkan beberapa pihak seperti media dan peminatnya.

OnePlus dalam kenyataan melalui CEO-nya Pete Lau berkata, selepas mengambil kira beberapa perkara seperti tiket penerbangan dan bilik hotel yang telah ditempah media dan peminat, keputusan itu perlu diambil walaupun ia agak memedihkan.



Alasan itu dapat diterima ramai. Namun, ada segelintir pihak yang kurang bersetuju dengan perkara ini dan mendakwa OnePlus takut dibayangi oleh majlis Apple berkenaan. Perkara ini sebenarnya telah diakui oleh Pete Lau sendiri dalam satu kirimannya di forum atas talian OnePlus.

Bagaimanapun, Pete ada berita gembira untuk mereka yang terjejas dengan perubahan ini. Beliau berkata OnePlus bersedia untuk membayar segala kos yang ditanggung oleh mereka yang terlibat, asalkan mereka dapat menyaksikan teknologi baru yang bakal dibawa OnePlus 6T nanti.

Menurut pihak OnePlus, semua pemilik tiket bagi majlis tersebut akan dihubungi melalui e-mel bagi memudahkan urusan berkaitan.

 

Sumber : OnePlus Forums   Engadget