Pelan Internet Tanpa Had Hotlink Yang Terbaharu Tidaklah 'Tanpa Had' Seperti Yang Disangka

Minggu ini, Maxis telah melancarkan sebuah pelan Hotlink terbaharu 'tanpa had' internet dengan panggilan Hotlink Prepaid Unlimited. Hotlink menawarkan 2 jenis pelan iaitu RM35 dengan kelajuan 3Mbps, dan juga RM45 dengan kelajuan 6Mbps.

Hotlink Prepaid Unlimited

Terkini, sudah kecoh di internet di mana pelan yang disangkakan 'tanpa had' ini sebenarnya tidak setelus mana. Sama seperti isu U Mobile sebelum ini, pelan Hotlink ini juga hadir dengan polisi Fair Usage Policy (FUP).

Realiti pelan 'tanpa had' tersebut adalah pengguna pas RM35 dan RM45 dihadkan penggunaan internet kepada 50GB. Manakala untuk pas RM12 seminggu, pengguna dihadkan kepada kuota 15GB, dan 5GB sehari untuk pas RM3.

Jika penggunaan internet ini mencapai kuota yang ditetapkan, kelajuan akan menjadi 512Kbps.



Sebelum ini pihak Hotlink tidak menyatakan secara spesifik mengenai polisi mereka, sehinggalah ramai pengguna yang melaporkan masalah FUP tidak jelas ini. Kemudiannya baru mereka mengemaskini polisi FUP di laman rasmi melalui FAQ mereka.

Seperti yang diketahui, adalah normal untuk syarikat rangkaian telekomunikasi untuk melakukan polisi FUP. Ini adalah untuk memastikan kesemua pengguna mengalami pengalaman menggunakan internet atau pelan yang adil secara sama-rata.

Apa yang turut juga normal adalah, kebanyakan syarikat ini tidak telus dalam polisi. Mereka seperti menunggu ditangkap oleh pengguna, barulah mereka menjelaskan apa yang sebenarnya terjadi.

Harapannya, pada masa hadapan, syarikat rangkaian telekomunikasi lebih jujur dengan apa yang dipromosi melalui pelan yang ditawarkan.

Melalui: FAQ Hotlink