Pelan Gentian Optik & Kesalinghubungan Negara (NFCP) Akan Terus Dilaksanakan

Sebanyak RM3 bilion telah diperuntukkan Kerajaan bagi pelaksanaan pelan tersebut.


Disebalik kesukaran negara berdepan dengan penularan wabak Covid-19 yang sekaligus menjejaskan pendapatan negara pada ketika ini, pihak Kerajaan mengumumkan bahawa Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) akan terus dilaksanakan.

Ia dimaklumkan sendiri oleh Perdana Menteri semalam ketika membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bagi membantu rakyat yang terkesan akibat impak COVID-19.

Pelan NFCP yang diusahakan Kerajaan adalah untuk menambah baik kesalinghubungan digital negara, terutamanya di kawasan luar bandar. Ia juga bertujuan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar talian tetap dan mudah alih, selain menyediakan asas bagi rangkaian baharu untuk teknologi 5G.

Setakat ini, sebanyak RM3 bilion telah diperuntukkan oleh Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) seperti yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi 1 pada 27 Februari 2020 lalu.

Pelaksanaan pelan itu melibatkan enam projek di bawah NFCP (NFCP 1-6) bagi sepanjang tahun 2020. Projek-projek tersebut akan dibiayai sepenuhnya melalui Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) di bawah kawal selia dan tadbir urus SKMM.

NFCP dijangka akan merangsang pelaburan dan inovasi dalam industri-industri berkaitan di samping mewujudkan hampir 20,000 peluang pekerjaan baharu seperti yang dianggarkan oleh SKMM bagi sepanjang tempoh pelaksanaan lima tahun bermula dari tahun 2019.

Sumber: SKMM