Pelajar Sebuah Sekolah Tinggi Di A.S Menemui Kamera Intip Dipasang Dalam Bilik Hotel Penginapan Mereka

Isu yang semakin membimbangkan.


Pelajar-pelajar sebuah sekolah tinggi di Wisconsin, A.S yang menghadiri sebuah persidangan di Minneapolis mendakwa mereka telah menemui kamera intip dipasang di dalam bilik hotel penginapan mereka.

Para pelajar sekolah itu menghadiri persidangan yang dianjurkan oleh Madison East High School yang berlangsung di hotel Hyatt Regency, Minneapolis.

Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada hanya pelajar sekolah itu sahaja yang menjadi sasaran. Ini kerana tiada pula penemuan alat perakam itu di dalam bilik hotel yang lain.

Pihak sekolah telah bertindak dengan memaklumkan kepada para ibu bapa pelajar bahawa isu ini sedang dalam siasatan.

Isu kamera intip yang dipasang di dalam bilik hotel bukan sesuatu yang baru di mana sebelum ini banyak laporan berkaitan kamera intip yang ditemui dipasang dalam bilik-bilik penginapan. Khususnya perkhidmatan penginapan Airbnb.

Jadi sekiranya anda bimbang dengan isu pengintipan apabila melancong dan menginap di sesebuah lokasi, anda boleh mengesan peranti intip ini dengan menggunakan aplikasi seperti Fing atau Nmap.

Aplikasi ini dapat mengesan peranti tersembunyi dalam rangkaian yang sama, mendedahkan pengeluar peranti serta mampu memaparkan model peranti.

Sumber: Bleeping Computer