Pekerja Trend Micro Didapati Mencuri Data Pelanggannya Bagi Membantu "Scammer"

Lebih 70 ribu pengguna dipercayai terjejas dengan isu ini.


Seorang pekerja di firma pembangun perisian keselamatan terkenal, Trend Micro didapati telah pecah amanah dengan terlibat dalam aktiviti mencuri data pengguna bagi membantu pihak scam.

Ia didedahkan sendiri oleh pihak Trend Micro di laman blog mereka baru-baru ini yang menyatakan, pekerja mereka itu telah mencuri dan membekalkan nama, alamat e-mel, nombor telefon dan nombor tiket sokongan pelanggan mereka kepada pihak scam.

Data-data peribadi yang dikongsikan itu pula akan digunakan oleh pihak scam bagi menelefon pelanggan Trend Micro dengan menyamar sebagai pekerja syarikat tersebut bagi menjalankan aktiviti penipuan.

Setakat ini, pihak Trend Micro menganggarkan sekitar 70,000 pelanggan mereka telah terjejas dengan isu ini.

Isu kecurian data pelanggan yang dilakukan oleh pekerja mereka hanya disedarai dalam awal bulan Ogos lalu. Susulan daripada insiden ini, pihak Trend Micro memaklumkan mereka telah segera mengambil tindakan dan memaklumkan kepada pihak berkuasa.

"We took swift action to contain the situation, including immediately disabling the unauthorized account access and terminating the employee in question, and we are continuing to work with law enforcement on an ongoing investigation," Trend Micro.