Pegawai Syarikat Telco Antara Yang Direman Berhubung Sindiket Penipuan SMS

Pada Selasa yang lalu, media tempatan telah melaporkan tiga pengarah syarikat dimana dua bergelar Datuk telah direman selama lima hari sehingga 14 November 2020. Sementara itu, seorang pegawai syarikat telco pula direman selama lima hari bermula semalam.

Perintah reman tersebut adalah berikutan dari kes sindiket penipuan SMS yang membabitkan pemberian rasuah berjumlah jutaan ringgit bagi mendapatkan nombor telefon pelanggan.

Terbaru menerusi laporan Bernama, dua lagi individu dan salah seorangnya merupakan ketua pegawai teknologi syarikat telekomunikasi telah direman hari ini. Ia adalah bertujuan untuk membantu siasatan SPRM berhubung kes penipuan SMS tersebut.

Memetik laporan itu, sumber kepada SPRM menyatakan pegawai syarikat telco dan ketua pegawai teknologi terbabit dipercayai memberi dan menerima wang rasuah. Ia dilakukan bagi mendapatkan maklumat data peribadi pelanggan pelan prabayar.

Difahamkan bahawa sejumlah wang telah diberikan untuk mendapatkan senarai nombor telefon pelanggan prabayar dari tahun 2017 sehingga sekarang.

Sumber: Bernama