PDRM Tubuh Unit Khas Untuk Pantau Pengguna Yang Melayari Laman Lucah

Serangan seksual terhadap kanak-kanak atau pedofil kini semakin berleluasa. Apa yang merisaukan, jenayah ini telah semakin menular di negara kita. Bukan itu sahaja, pengguna internet di Malaysia adalah merupakan antara yang tertinggi dalam menonton video lucah berkaitan kanak-kanak di Asia Tenggara. 

Perkara itu disahkan sendiri oleh pihak Polis Di-Raja Malaysia(PDRM), menurut laporan New Straits Times. Atas sebab itu, pihak polis telah menubuhkan satu unit khas bagi memantau pengguna Malaysia yang melayari laman lucah di negara ini.



Unit itu dikenali sebagai Unit Siasatan Jenayah Internet Terhadap Kanak- Kanak (MICAC). Ia diletakkan di bawah Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak Polis Diraja Malaysia (D11). Unit ini akan mengesan pengguna yang melayari dan memuat-turun atau memuat-naik kandungan lucah terutamanya yang melibatkan kanak-kanak.

Pihak polis kemudiannya akan menjejaki mereka menggunakan alamat IP pengguna seterusnya suspek akan dipanggil untuk memberi keterangan atau lebih teruk, ditahan polis untuk membantu siasatan. Perisian Internet Crime Against Children — Child Online Protective Services (ICACCOPS) digunakan oleh PDRM untuk melaksanakan tugas ini.

Menurut laporan itu lagi, PDRM telah menghantar sejumlah pegawai mereka untuk menerima latihan berkaitan perkara ini dengan bantuan Biro Penyiasatan Persekutuan(FBI) dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri(DHS) Amerika Syarikat.

Sumber