Paten Baru Xiaomi Perlihatkan Kamera Terangkat Dengan 7 Sensor

Sering kali kita melihat laporan pemfailan paten daripada pengeluar telefon, ia tampil dengan rekaan dan ciri unik. Tidak semestinya dihasilkan untuk pasaran, ia menunjukkan bahawa pengeluar berusaha untuk membangunkan sebuah peranti unik berbanding pesaing lain.

Terbaru adalah paten dari Xiaomi yang mendapat kelulusan dari Pentadbiran Harta Intelek China (CNIPA). Menggunakan mekanisme terangkat, panel terangkat itu memperlihatkan 7 sensor kamera dimuatkan padanya.



Imej menunjukkan dua sensor berada menghala ke bahagian hadapan sementara bahagian belakang mempunyai tiga rekaan berbeza. Rekaan pertama hanya mempunyai dua sensor, tiga sensor bagi rekaan kedua dan terakhir sekali bersama  lima sensor kamera. Bahagian terangkat itu juga lebih panjang dan hampir memenuhi bahagian atas peranti.



Sekiranya benar-benar dibangunkan, ia suatu yang menarik untuk dilihat kerana ruang yang terhad itu mampu dimuatkan dengan jumlah sensor yang agak banyak. Walaupun telah mendapat pengesahan daripada pejabat harta intelek, ia bukan petanda peranti tersebut akan dikomersialkan. Mungkin bukan sekarang tetapi pada masa akan datang.

Sumber: ShotBytes via GizmoChina