Pasukan TODAK - Wakil Negara Dalam Kejohanan Dunia Mobile Legends Di Singapura Untuk Merebut RM1.2 Juta

Kejohanan Dunia M2 Mobile Legends: Bang Bang kini sedang berlangsung bermula 18 Januari hingga 24 Januari 2021 di Singapura.

Kejohanan yang dianjurkan MOONTON serta Persatuan Sukan Siber dan Permainan Dalam Talian Singapura (SCOGA) ini adalah acara e-sukan luar talian (offline) global pertama yang diadakan di Asia Tenggara pada tahun ini.

Kejohanan ini menempatkan pasukan e-sukan terkemuka dari seluruh dunia untuk merebut hadiah terkumpul yang bernilai USD300,000 (~RM1.2 juta).



Pasukan e-sukan negara, TODAK adalah wakil tunggal negara dalam kejohanan berprestij ini. Sebelum ini, pada edisi tahun 2019, TODAK menduduki tangga ketiga dalam kejohanan M1.

Selain itu, TODAK juga sering dipuji terhadap gaya permainan mereka yang agresif serta menunjukkan bahawa mereka antara nama besar dalam Mobile Legends.

Perlawanan pertama TODAK baru sahaja selesai tadi dimana mereka tidak bernasib baik ketika bertemu pasukan OMEGA dari Filipina.

Namun, mereka akan menentang pasukan Impunity KH dari Kemboja pada jam 1.40pm nanti. Sama-sama kita doakan yang terbaik buat pasukan e-sukan negara kita dalam kejohanan dunia ini.