Paparan 90Hz realme 6 Pro Hanya Setakat 60Hz Sahaja?

Antara fungsi menarik mengenai siri realme 6 terkini yang baru dilancarkan adalah kehadiran kadar segar semula 90hz. Untuk kebanyakan peranti, panel dengan kadar segar semula yang tinggi hanya ditawarkan untuk model flagship dan juga yang mahal. Jadi dengan harga siri realme 6 yang dijual rendah, ia menarik perhatian ramai peminat gajet kerana tiada peranti harga sekitarnya yang menawarkan fungsi sama.

Namun, terdapat isu yang dilaporkan oleh pengguna awal peranti realme 6 Pro mengenai paparan 90Hznya itu. Menurut Fahim Zahar, ujian kadar segar semula mendapati paparan hanya mencapai setakat 60fps sahaja.

Beliau menguji melalui laman beberapa ujian iaitu displayhz.com,  UFO Test, dan FPS Test iaitu laman yang popular digunakan untuk menguji prestasi kadar segar semula mana-mana skrin. Walaupun tetapan 90Hz telah diaktifkan melalui tetapan sistem, ia masih tidak mencapai kadar segar semula yang sepatutnya.

Screenshot berikut merupakan hasil ujian yang dijalankan oleh beliau.


Ujian dari unit ulasan realme 6 Pro kami


Sehubungan dengan itu, kami juga turut menguji unit ulasan realme 6 Pro yang kami terima dan hasilnya adalah sedikit berlainan dari apa yang dilaporkan. Sebelum itu kami telah mengaktifkan tetapan 90Hz terlebih dahulu.

Berikut merupakan screenshot ujian yang kami jalankan.



Melalui hasil ujian kami,  peranti realme 6 Pro kami mampu mencapai 90Hz. Hanya pada ujian FPS Test sahaja peranti hanya mendapat sekitar 60fps. Dengan perbezaan ujian yang dilakukan, kami pun tidak pasti bagaimana boleh terjadinya perbezaan sedangkan peranti dan versi perisian realme UI adalah sama. Mungkin ada unit realme 6 Pro yang bermasalah kerana tidak mampu mencapai panel 90Hz yang sepatutnya.

Jadi buat, masa ini, kita terpaksa menunggu sehingga pihak realme memberikan kenyataan yang sewajarnya mengenai isu ini.

Sumber: Fahim Zahar