Pakar Keselamatan Komputer Mengaku Salah Membangun dan Menjual Perisian Hasad

Beliau adalah individu yang berjaya menghentikan serangan perisian hasad (malware) WannaCry.


Jika anda masih ingat, pakar penyelidik keselamatan komputer dan pengasas blog sekuriti Malwaretech yang telah ditahan oleh FBI pada 2017 dahulu akhirnya mengaku bersalah di atas tuduhan membangunkan perisian hasad.

Marcus Hutchins telah mengaku bersalah di atas pertuduhan membangunkan perisian hasad Kronos dan UPAS-Kit iaitu jenis perisian hasad trojan yang khusus menyerang sistem perbankan bagi mencuri kata laluan dan maklumat sulit dari laman sesawang perbankan.

Berikut adalah petikan kenyataan beliau yang diambil daripada laman Malwaretech:

"As you may be aware, I’ve pleaded guilty to two charges related to writing malware in the years prior to my career in security. I regret these actions and accept full responsibility for my mistakes."

"Having grown up, I’ve since been using the same skills that I misused several years ago for constructive purposes. I will continue to devote my time to keeping people safe from malware attacks."

Dia juga turut mengaku bersalah berkonspirasi dengan menggunakan identiti "Vinny," "VinnyK," dan "Aurora123" bagi mengiklan dan menjual perisian hasad di internet.

Aktiviti tersebut didakwa berlaku antara Julai 2012 dan September 2015 dahulu, sebelum Hutchins membina karier sebagai penyelidik keselamatan.

Hutchins dijangka akan dipenjarakan sehingga 10 tahun atas 2 pertuduhan tersebut serta denda sehingga USD250,000.

Dulu hero, kini...


Pada tahun 2017 dahulu, dunia internet telah digemparkan dengan serangan perisian hasad yang dikenali sebagai WannaCry di mana ia telah menyebabkan 150 buah negara telah mengalami kerugian yang dianggarkan mencecah sehingga USD4 bilion.

Walaubagaimanapun, serangan tersebut telah berjaya disekat oleh Marcus Hutchins yang sekaligus menjadikannya hero pada ketika itu.

Tetapi hanya beberapa bulan selepas itu, beliau telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Las Vegas ketika dia ingin pulang semula ke U.K selepas menghadiri persidangan keselamatan Black Hat dan DEF CON.

Selepas penahanan itu, Hutchins telah dilepaskan dengan ikat jamin dan terus berada di Los Angeles sementara menunggu perbicaraannya.

Dia juga kini memfokuskan berkongsi kemahiran menganalisis perisian hasad yang dimiliki serta berkongsi maklumat dengan komuniti keselamatan komputer.

Marcus Hutchins dianggap sebagai salah seorang pakar keselamatan komputer paling berbakat ketika ini.

Sumber: ZDNet

Berkaitan