Pablo, Papan Iklan Kompak Untuk Industri Kecil Dan Sederhana

Pihak Wiser terpanggil untuk mendedahkan hasil rekaan anak-anak tempatan apabila pihak Kolej Antarabangsa Unifield telah menjemput kami bagi melihat hasil kerja pelajar-pelajar mereka. Hasil kerja ini dihasilkan sempena pembentangan projek akhir untuk pelajar-pelajar tahun akhir Diploma Kemahiran Malaysia.

Antara yang menarik perhatian kami adalah satu produk yang diberi nama PABLO (Portable Ads Board). PABLO menurut mereka bermaksud kecil dalam bahasa Sepanyol. Ini kerana produk yang dihasilkan berdimensi kecil dan menampilkan skrin paparan yang boleh memainkan media berformat video dan gambar.

Ikuti temubual kami bersama-sama 3 anak muda Hanif, Zakwan dan Naim:



Jadi boleh cerita sedikit mengenai produk yang dipanggil PABLO ini?

Pablo ini disasarkan untuk diletakkan di gerai-gerai jalanan sebagai media elektronik terutamanya di gerai-gerai burger. Ia akan bertidak seperti media pengiklanan elektronik dalam saiz kompak.

Mengapa gerai burger?

Seperti kita tahu, kebanyakkan belia Industri Kecil Sederhana (IKS) banyak mengusahakan perniagaan kecil-kecilan dan contoh terbaik yang mudah didapati adalah gerai menjual burger. Sasaran kami adalah untuk menaik taraf sistem pemasaran sedia ada kepada bentuk yang lebih moden dan berinteraktif.

Di mana saudara-saudara sekalian mendapat inspirasi untuk menghasilkan PABLO ini?

Jika kita berkunjung ke kedai seperti 7-Eleven, pasti kita dapat melihat skrin-skrin kecil yang memaparkan media dalam bentuk video atau gambar. Namun, skrin tersebut memerlukan sambungan tetap dan tidak boleh digerakkan sesuka hati.

Jadi kami terfikir apakah idea yang sama dapat dibuat dengan kos yang lebih rendah dan paling penting lebih mudah untuk dibawa ke mana-mana dapat memberi pilihan yang baik kepada pengusaha IKS? Hasilnya, terciptalah PABLO.

Boleh terangkan apa komponen asas di dalam PABLO ini?

Untuk tujuan proof of concept, kami menggunakan skrin paparan desktop yang kecil bersama-sama pembesar suara bagi mendapatkan bunyi audio di dalam video. Semuanya dikawal oleh microcontroller Rasberry Pi yang diletakkan di dalam kotak kayu yang menempatkan semua komponen.



Akhir sekali, sambungan ke bahagian luar kotak berbentuk kabel RJ45 bagi memuat naik media ke dalam PABLO dan juga kabel kuasa.






Menurut tenaga pengajar pelajar-pelajar ini, berharap pelajar-pelajarnya dapat mengguna pakai ilmu yang dipelajari dan dapat menghasilkan produk-produk berinovasi tinggi seterusnya boleh menyumbang kepada produk intelektual negara.

Inspirasi dapat diambil seperti startup di negara-negara maju yang menghasilkan produk mereka tersendiri dan secara tidak langsung dapat menjana aktiviti ekonomi di sesebuah tempat.

Dia juga berharap badan-badan kerajaan dapat memainkan peranan pro-aktif bagi mengketengahkan produk-produk anak tempatan agar dapat berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Berkaitan