Orang Ramai Dijemput Beri Maklum Balas Mengenai Rangka Kerja Identiti Digital Nasional

Dalam langkah untuk menghadapi era digital, Surahanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memulakan proses rundingan awam untuk mengumpul pandangan dan perspektif orang ramai terhadap pembangunan Rangka Kerja Identiti Digital (ID) Nasional.

Jika ada yang belum maklum mengenainya, Identiti Nasional adalah identiti seseorang individu secara elektronik berdasarkan ciri-ciri biometrik seperti cap jari, imbasan wajah, iris dan maklumat demografik seperti nama dan tarikh lahir.



Melalui ID Nasional, pengesahan identiti pengguna daripada sumber yang sahih membolehkan urusan perkhidmatan yang cepat, mudah, terlindung dan terjamin. Ia juga berpotensi untuk mengelakkan jenayah pemalsuan dan penipuan identiti secara dalam talian.

Selain itu, ia penting untuk membolehkan kesalinghubungan pelbagai sistem transaksi untuk memudahkan pengguna berurusan di mana sahaja pada bila-bila masa.

Antara negara yang telah melaksanakan ID Nasional mengikut kesesuaian konteks negara masing-masing termasuk Estonia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan United Kingdom.



Sehubungan itu, orang ramai diminta untuk menyertai Rundingan Awam Rangka Kerja Identiti Digita Nasional mulai 24 Julai hingga 7 Ogos 2020. Maklum balas yang diberi akan dipertimbangkan untuk penilaian dan penambahbaikan untuk kertas cadangan tersebut.

Untuk menyertai Rundingan Awam Rangka Kerja Identiti Digital Nasional, layari pautan ini.