Orang Awam Boleh Mohon Perjalanan Antara Negeri Melalui Aplikasi GERAK Malaysia Mulai 25 April

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan hari ini berkata, orang ramai yang telah pulang ke kampung sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ingin pulang ke rumah masing-masing boleh membuat permohonan atau melaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui aplikasi GERAK Malaysia mulai 25 April ini.

Inisiatif ini diambil setelah mengambil kira keresahan dan kebimbangan orang ramai setelah lebih sebulan berada di kampung. Bagaimanapun perkara ini masih dalam kajian dan jika diluluskan, pergerakan mungkin akan hanya bermula selepas 1 Mei 2020.



Bagi anda yang belum tahu, aplikasi GERAK Malaysia telah dibangunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi pihak Kerajaan Malaysia untuk menyampaikan maklumat terkini berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), berita dan statistik berkenaan Covid-19.

Melalui aplikasi ini, ia dapat membantu memudahkan urusan pengguna untuk memiliki dokumen perjalanan yang sah dalam tempoh PKP. Selain itu, ia juga membantu pihak berkuasa mengesan kontak dan menganalisa pergerakan pengguna di seluruh negara dalam menangani  penularan Covid-19 dengan berkesan.

Muat turun aplikasi GERAK Malaysia boleh dilakukan melalui Play Store dan App Store.