OPPO Watch Dengan Versi Wear OS Bakal Diperkenal Tidak Lama Lagi

Pada awal tahun ini, OPPO telah mengumumkan OPPO Watch yang merupakan jam pintar pertama syarikat itu. Ia kemudian telah dilancarkan pada Mei dan hanya ditawarkan dalam pasaran China. Bagaimanapun, jam pintar itu hadir dengan ColorOS.

Baru-baru ini, OPPO Watch juga telah diperkenal dalam pasaran Jerman dengan paparan AMOLED 1.6 inci dan mempunyai perlindungan Gorilla Glass 3. Ia dikuasakan cip Snapdragon Wear 2500 dan Apollo 3.

Kini, OPPO telah berkongsi GIF untuk pelancaran OPPO Watch dengan versi yang menjalankan Wear OS. Perkongsian tersebut tidak mendedahkan sebarang spesifikasi jam pintar itu, namun ia kelihatan seperti OPPO Watch yang sebelumnya.



Tidak dapat dipastikan jika jam pintar ini merupakan OPPO Watch versi global yang menjalankan Wear OS atau kemungkinan akan hadir dengan spesifikasi yang berbeza.

Sumber: GSMArena