OPPO Umum Find X2 Lite - Kelas Pertengahan Snapdragon 765, 6.4" OLED 60Hz Dan 4000mAh

Sebelum ini terdapat khabar angin mengenai penambahan siri Find X2 melalui varian Lite. Hari ini di China, OPPO secara rasmi telah melancarkan peranti ini dan telah disenaraikan pada laman web OPPO Portugal.

OPPO Find X2 Lite ini merupakan peranti kelas pertengahan yang dilancarkan bertujuan untuk melengkapkan siri Find X2 dengan model yang lebih mampu milik. Sudah tentu spesifikasi yang disertakan lebih rendah. Yang pertamanya, ia mempunyai cip Snapdragon 765 dengan sokongan rangkaian 5G.



Kadar segar semula paparan telah direndahkan kepada 60Hz dari 120Hz pada model Find X2 lain. Saiznya juga sedikit kecil dengan 6.4 inci Full HD OLED. Paparan juga dilindungi oleh Corning Gorilla Glass 5 dan turut mengandungi pengimbas cap jari jenis optikal.

Peranti ini mempunyai RAM sebesar 8GB dan storan dalaman 128GB. Untuk kamera, ia mempunyai 3 lensa di bahagian belakang yang berbeza dengan 4 lensa pada Find X2 dan Find X2 Pro. Dengan 48MP (f/1.7) lensa utama, ia kemungkinan menggunakan sensor utama yang sama dengan model Find X2 lain disebabkan spesifikasi yang sama.



Lensa tambahan lain adalah 8MP sudut lebar, 2MP monokrom, dan 2MP depth. Untuk kamera swafoto, ia menggunakan lensa 32MP (f/2.0) yang diletakkan pada takuk paparan hadapan. Pendekatan rekaan ini adalah berbeza dengan Find X2 dan X2 Pro yang menggunakan rekaan kamera berlubang. Namun, dari segi sensor swafoto yang digunakan, ia berkemungkinan sebuah sensor yang sama.

OPPO Find X2 Lite 5G

Dari segi bateri, ia masih lagi kapasiti yang besar dengan 4,025mAh. Pengecasan pantas juga turut hadir iaitu VOOC 4.0 yang dikatakan mampu mengecas bateri sehingga 50% dalam masa 20 minit.

OPPO Find X2 Lite hadir dalam 2 pilihan warna Pearl White dan Moonlight Black. Di Eropah, harga yang dijual adalah bermula 500 euro (RM~2,376) namun OPPO tidak menyatakan tarikh jualan peranti ini. Untuk pasaran Malaysia, belum kedengaran berita kedatangannya ke sini lagi.

Sumber: OPPO

 

Berkaitan