OPPO Sahkan Mereka Sedang Bangunkan Cip Pemprosesan Untuk Peranti Pintar

Hanya beberapa kerat pengeluar peranti pintar sahaja yang mampu menghasilkan cip untuk diri mereka sendiri. Samsung, Apple, dan Huawei sahaja syarikat sedemikian. Menambah kepada senarai tersebut, OPPO nampaknya ingin juga menghasilkan cip kustom sendiri untuk kegunaan peranti pintar mereka.

Sebelum ini terdapat laporan bahawa OPPO sedang membangunkan cip pemprosesan tersendiri dinamakan OPPO M1. Namun rupa-rupanya ia bukanlah cip pemprosesan, akan tetapi hanyalah sebuah co-processor yang direka untuk membantu cip pemprosesan utama dalam peranti mereka.

Kini pihak OPPO telah disahkan kali ini mereka memang mahu bangunkan cip pemprosesan yang sebenar untuk peranti pintar. Melalui laporan, OPPO telah berkongsi sebuah dokumen kepada pekerja mereka mengenai "Mariana Plan" yang merujuk kepada cip mereka itu.

CEO OPPO, Chen Yongming turut mendedahkan bahawa syarikatnya akan melabur sebanyak 50 billion yuan dalam jangka masa 3 tahun termasuklah pembangunan cip mereka. Buat masa ini, tiada maklumat mengenai peranti yang akan menggunakan atau tarikh pelancaran cip tersebut.

Jika anda masih ingat, Xiaomi juga sebelum ini pernah membangunkan cip mereka tersendiri yang dinamakan Surge S1 pada tahun 2017. Walau bagaimanapun, ia tidak mendapat sambutan dan hanya digunakan dalam satu model sahaja iaitu Xiaomi Mi 5C.

Sama ada OPPO berjaya atau tidak bangunkan cip mereka ini, kita tunggu dan lihat sahaja.

Sumber: CNBeta

Berkaitan