OPPO Reno4 Pro, Peranti Kelas Pertengahan Dengan Pengecasan Pantas 65W

Hanya selepas beberapa bulan OPPO Reno3 Pro menjengah masuk dalam pasaran tempatan, OPPO hari ini telah memperkenalkan Reno4 Pro dalam pasaran Malaysia. Ditawarkan pada harga RM2399, ia merupakan peranti kelas pertengahan dan adalah generasi keempat dalam siri Reno.

Berikutan itu, kami telah berpeluang untuk menggunakan OPPO Reno4 Pro dalam beberapa hari. Untuk mengetahui reaksi awal kami mengenai peranti terbaru dari OPPO ini, ikuti bingkisan di bawah.

Buka kotak


Setelah kotak dibuka, anda akan dihidangkan dengan kandungan kotak seperti di bawah:

  • Reno4 Pro

  • Pengecas 65W SuperVOOC 2.0

  • Kabel pengecasan Type-C

  • Fon telinga

  • Sarung pelindung

  • Manual pengguna

  • Kad waranti


Rekaan




Bagi telefon pintar yang dilancarkan pada tahun 2020, boleh dikatakan Reno4 Pro adalah antara peranti paling ringan untuk tahun ini. Ia hadir dengan binaan yang nipis dengan 7.7mm serta mempunyai berat 161 gram. Dengan binaan melengkung, ia selesa terletak dalam genggaman tangan.



Pada bahagian hadapan peranti, ia dilindungi oleh Corning Gorilla Glass 5. Terdapat paparan berlubang tunggal di sebelah kiri yang dimuatkan dengan kamera swafoto.



Sisi kiri dan kanan peranti ini kelihatan melengkung dengan skrin 3D 55.9 darjah yang disertakan pada Reno4 Pro. Ia memberikan ciri yang premium bagi peranti pada kelasnya. Di bahagian bawah peranti terdapat bicu audio 3.5mm, mikrofon, port pengecasan USB-C dan pembesar suara.



Sama seperti generasi sebelumnya, butang kuasa diletakkan pada bahagian kanan peranti, sementara pelaras kelantangan bunyi ditempatkan pada sisi kiri.



Beralih ke bahagian atas peranti, ia dimuatkan dengan slot dwi kad SIM nano dan kad mikroSD.



Bahagian belakang peranti hadir dengan kemasan matte yang menjadikan kesan cap jari tidak mudah kelihatan, lebih kemas dalam genggaman tangan serta tidak mudah jatuh. Ia dimuatkan dengan modul kamera memanjang dengan 4 lensa.

Unit ulasan yang kami terima adalah berwarna Starry Night dan OPPO turut menawarkan pilihan warna Silky White.

Spesifikasi


Menyentuh spesifikasi, Reno4 Pro dipasang dengan skrin 3D paparan melengkung 6.5 inci dari jenis Super AMOLED. Kaca yang digunakan pula adalah Corning Gorilla Glass 5. Hadir dengan resolusi FHD+, ia turut menyokong kadar segar semula 90Hz.



Reno4 Pro dijana cip pemproses Snapdragon 720G dengan RAM 8GB yang digandingkan dengan storan dalaman 256GB. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, ia turut menyokong slot mikroSD untuk tambahan storan.

Bagi kamera, tetapannya adalah sedikit berlainan berbanding yang ditawarkan dalam model pasaran China. Ia dilengkapi dengan kuad kamera terdiri daripada 48MP utama, 8MP sudut lebar, 2MP makro dan 2MP mono. Untuk kamera hadapan pula dimuatkan dengan sensor 32MP.



Reno4 Pro dibekalkan dengan kapasiti bateri 4000mAh. Namun, menjadikannya lebih menarik adalah dengan penawaran pengecas pantas 65W SuperVOOC 2.0 dalam kotak pembelian. Menurut OPPO, pengecas ini mempunyai keupayaan untuk mengecas penuh peranti hanya dalam tempoh 36 minit.



OPPO Reno4 Pro menjalankan sistem antaramuka ColorOS 7.2 yang berasaskan Android 10.

Sampel Gambar


Kami turut berpeluang menggunakan ciri baharu pada Reno4 Pro iaitu mod AI Color Portrait. Berikut adalah sampel gambar yang sempat dirakam menggunakan OPPO Reno4 Pro.



Dengan menggunakan mod AI Color Potrait, ia dapat mengekalkan subjek dengan warna asal, sementara latar belakang akan menjadi warna hitam dan putih serta mempunyai kesan kabur. Mod ini menyokong bagi kedua-dua kamera hadapan dan belakang.

Antara ciri baharu lain yang disertakan pada peranti ini termasuk mod Night Flare dan sebagainya.


Kesimpulan


Sebagai peranti kelas pertengahan, penawaran pengecas pantas dalam kotak pembelian merupakan nilai tambah bagi sesebuah peranti pada kelasnya. Pengecasan pantas menjadi satu keutamaan dalam penggunaan peranti pada masa kini.

Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut mengenai prestasi, kemampuan kamera, pengecasan OPPO Reno4 Pro, nantikan ulasan video yang akan diterbitkan tidak lama lagi.