Oppo R17 Pro Kini Rasmi, Hadir Dengan Tri-Kamera & Pengimbas Cap Jari Dalam Skrin

Selepas Huawei P20 Pro kelihatan berjaya mendapat tempat di hati pengguna telefon pintar dengan tiga kamera utamanya, beberapa pembangun lain dilihat mula berminat menggunakan rekaan yang sama. Ia termasuklah syarikat pengeluar dari China, Oppo apabila mereka melancarkan peranti tri-kamera terbaru mereka, R17 Pro baru-baru ini.



Merupakan alternatif kepada peranti premium, Oppo Find X, R17 Pro ini didatangkan dengan cip pemprosesan yang lebih rendah iaitu Snapdragon 710. Ia turut hadir dengan sokongan 8GB RAM serta 128GB simpanan dalaman, namun tidak menyokong fungsi kad mikroSD.

Oppo turut menggunakan rekaan takuk yang sama seperti Oppo F9 pada keluaran mereka kali ini. Rekaan yang digelar waterdrop itu akan menyembunyikan kamera hadapan 25 MP. Manakala paparan skrin peranti ini pula akan ditayangkan menggunakan skrin AMOLED 6.4-inci FHD+ dengan kadar nisbah skrin pada badan peranti yang agak besar iaitu 91.5%.

 

Dari segi kamera utamanya pula, ia akan menggabungkan lensa dengan sensor 12MP + 16MP serta lensa kamera 3D. Lensa ketiga peranti ini dikatakan mempunyai fungsi yang lebih terjurus kepada teknologi AR. Tambahan pula, lensa 12MP pada Oppo R17 Pro ini akan hadir dengan bukaan lensa boleh laras, sama seperti Samsung Galaxy S9+.

Antara perkara menarik lain mengenai peranti ini ialah ia akan menyokong fungsi pengecasan pantas premium Oppo, SuperVOOC bagi membolehkan bateri 3,700mAh-nya dicas dengan lebih cepat. Tambahan lagi, ia juga menggunakan teknologi imbasan cap jari dari dalam skrin sama, seperti Find X.



Oppo R17 Pro akan mula dijual di pasaran China pada pertengahan Oktober ini dengan harga pasaran RMB 4,299(~RM 2,567). Setakat ini belum ada sebarang maklumat mengenai tarikh pelancaran peranti ini bagi pasaran Malaysia yang kami perolehi.

 

Sumber