Oppo R17 Pro Dilancarkan Secara Rasmi Di Malaysia, Dilengkapi Dengan Tri-Kamera Utama

Oppo Malaysia hari ini telah melancarkan Oppo R17 Pro secara rasmi untuk pasaran Malaysia sebentar tadi. Pelancaran peranti berkenaan telah disempurnakan dalam satu majlis yang diadakan di Kuala Lumpur.

Oppo R17 Pro hadir dengan status sebagai peranti kelas pertengahan premium di mana ia mempunyai beberapa ciri peranti kelas perdana walaupun ia merupakan telefon kelas pertengahan.



Antaranya ialah lensa utama kamera belakang R17 Pro ini merupakan lensa dengan aperture boleh ubah 12MP f/1.5 - f/2.4, sama seperti Samsung Galaxy Note 9.

Kamera utama peranti ini hadir dengan tiga lensa iaitu 12MP f/1.5 - f/2.4, 20MP f/2.6 serta satu lagi lensa yang dikhaskan untuk pengesanan kedalaman 3D dengan teknologi TOF(time-of-flight). Kamera pada peranti ini juga didatangkan dengan sokongan OIS.



Bagi kamera hadapan pula, ia menggunakan lensa 25MP yang disokong oleh teknologi kecerdasan buatan(AI). Menariknya, kamera Oppo R17 Pro ini mempunyai mod Ultra Night yang hampir menyerupai Night Mode yang ada pada peranti flagship Huawei.

Dengan mod Ultra Night ini, hasil gambar yang ditangkap akan menjadi lebih baik dengan bantuan bukaan aperture pintar yang dilaraskan secara automatik berdasarkan kadar pengcahayaan ketika mengambil gambar. Perkara ini dapat dihasilkan melalui bantuan AI Ultra-Clear Engine.



Selain itu, model keluaran terbaru Oppo ini juga dilengkapi dengan sensor imbasan cap jari dari dalam skrin. Bercakap mengenai skrin, peranti ini menggunakan panel skrin bersaiz 6.4-inci FHD+ dengan nisbah skrin pada peranti sebesar 91.5%. Panel skrin ini turut terpilih menjadi yang pertama dilindungi oleh Corning Gorilla Glass 6.

Oppo R17 Pro ini akan dikuasakan oleh bateri berkapasiti 3,700mAh. Malah, peranti ini akan disokong oleh pengecasan Super VOOC 50W baharu yang mana didakwa boleh mengecas sehingga 40% dalam masa hanya 10 minit.



Model terbaru Oppo dengan warna  ini akan mula dijual secara rasmi di pasaran tempatan pada tanda harga RM 2,699. Oppo R17 Pro ditawarkan dengan dua pilihan warna iaitu Stream Blue dan Emerald Green serta memori 8GB RAM dengan simpanan dalaman sebesar 128GB.

Bagi anda yang berminat untuk mendapatkan peranti ini, pra-tempahan akan dibuka bermula 23 November dan boleh dilakukan secara atas talian melalui gedung rasmi Oppo di Lazada, 11Street dan Shopee.



Anda juga boleh terus ke cawangan Celcom Blue Cube, Senheng, senQ serta pengedar-pengedar rasmi Oppo yang lain untuk membuat pra-tempahan.

Pembeli yang membuat pra-tempah berpeluang untuk membawa pulang seutas Olike Neo Sportband yang bernilai RM 389 secara percuma. Untuk perkembangan lanjut, sila layari laman sesawang rasmi Oppo Malaysia atau ikuti laman Facebook rasmi mereka.