OPPO R15 Pro- Peranti Dwi-Kamera OPPO Dilancarkan Di Malaysia Dengan Harga RM 2,399

Syarikat telekomunikasi berasal dari China, Oppo telah memperkenalkan peranti kelas pertengahan premium terbaru mereka, Oppo R15 Pro bagi pasaran Malaysia. Peranti ini merupakan keluaran terkini bagi siri Oppo R, di mana model terakhir dari siri ini adalah Oppo R11.


Kredit : Oppo Malaysia


Antara keistimewaan peranti ialah ia akan menggunakan lensa dwi-kamera sebagai kamera utamanya. Ia kelihatan biasa buat model keluaran pengeluar lain namun bagi Oppo, ini merupakan peranti kedua selepas digunakan buat kali pertama pada model Oppo R11 sebelum ini.

Kamera utama peranti ini akan menggabungkan lensa 16MP+20MP yang menyokong fungsi teknologi kecerdasan buatan. Sementara bagi kamera hadapan pula, Oppo menggunakan kamera dengan lensa 20MP dengan jaminan hasil imej swafoto yang berkualiti dari Oppo.


Oppo R15 Pro (Cosmic Purple)


Peranti ini hadir dengan paparan skrin AMOLED 6.28 inci beresolusi 1080p. Oppo R15 Pro juga tidak ketinggalan untuk menggunakan rekaan takuk pada paparan hadapan peranti seperti kebanyakan peranti keluaran terbaru masa kini.

Selain itu, Oppo R15 Pro ini akan disokong oleh cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 660 yang akan disokong oleh memori 6GB RAM serta ruang storan sehingga 128GB ROM. Peranti ini akan menggunakan antaramuka ColorOS 5.0 berlandaskan Android 8.1 Orea seperti yang digunapakai pada peranti Oppo F7.


Oppo R15 Pro (Ruby Red)


Dari segi bateri pula, peranti ini hadir dengan bateri berkapasiti 3,430 mAh yang turut akan menyokong fungsi pengecasan pantas VOOC yang sinonim dengan peranti Oppo. Antara sokongan lain yang terdapat pada peranti ini ialah fungsi kad mikroSD sehingga 256GB, sistem nyahkunci melalui pengecaman wajah dan imbasan cap jari.



Oppo R15 Pro ini akan hadir dengan dua pilihan warna iaitu Ruby Red dan Cosmic Purple dan boleh didapati dengan harga RM 2,399 bagi pasaran Malaysia. Pengguna yang berminat boleh mendapatkan peranti ini bermula pada 1 Jun 2018, atau boleh membuat pra-tempahan dari 25 Mei hingga 31 Mei melalui kedai rasmi atas talian Oppo di Shopee, Lazada dan 11Street Malaysia.