OPPO Sendiri Sahkan Pengecasan Pantas Akan Rosakkan Ketahanan Bateri Peranti

Android dan perlumbaan spesifikasi sememangnya bukanlah perkara yang asing. Mana-mana perkakas baik dari segi skor prestasi Antutu, bilangan kamera, saiz MP kamera, kadar segar semula dan bermacam lagi sentiasa dibanding-bandingkan oleh pengeluar peranti.

Kelajuan sistem pengecasan juga merupakan antara spesifikasi yang terlibat dalam hal ini. Akan tetapi tahukah anda, lebih laju pengecasan tersebut bukanlah bermaksud ia adalah 100% lebih baik?

Malahan perkara ini diakui sendiri oleh OPPO yang mengatakan dalam jangka masa panjang, ia akan mengurangkan kadar kapasiti bateri peranti.

https://twitter.com/andreif7/status/1258660944877694978

Menurut mereka, dalam satu jangka masa, pengecasan berkelajuan 40W akan berkurang kepada 70% kapasitinya. Sedangkan, jika kelajuan dikurangkan pada 15W, kapasiti hanya akan berkurang kepada 90% sahaja dalam tempoh yang sama.

Apabila kapasiti peranti berkurang, jangka hayat peranti juga akan mula berkurang. Peranti yang dahulunya dibeli dengan kapasiti bateri 4,000mAh akan beroperasi sekitar 2,800mAh disebabkan kelajuan pengecasan pantas ini.

Walaupun terdapat kekurangan padanya, kesan negatif kapasiti berkurang itu mengambil masa yang lama sekitar 2-3 tahun. Untuk kebanyakan pengguna, mereka tidak menggunakan peranti yang sama sehingga 3 tahun lamanya dan sudah tentu mereka tidak perasan akan impak jangka hayat perantinya.

Kapsyen: OPPO Ace2 yang dilancarkan pertengahan April 2020 lalu


Pengecasan yang pantas sudah tentu memberikan kemudahan dari segi tidak lagi perlu menunggu lama untuk mengecas peranti sehingga penuh. Namun, jika anda seorang yang skeptikal dengan nilai kapasiti bateri dan juga menggunakan peranti yang sama bertahun-tahun lamanya, mungkin anda perlu mengurangkan kelajuan mengecas peranti anda.

Sumber: Andrei F

Berkaitan